Restoran berputar Menara KL diarah kosong, tutup operasi

Sinar Harian
Disember 22, 2023 18:16 MYT
Sebelum ini, media melaporkan, sebuah restoran ‘berputar’ terkenal di Menara Kuala Lumpur menghentikan operasi mereka sejak Khamis, susulan perintah pengosongan premis oleh Mahkamah Tinggi.
KUALA LUMPUR: Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) mendedahkan bahawa, tindakan pengosongan premis terhadap sebuah restoran ‘berputar’ terkenal, dibuat selepas perjanjian penyewaan yang dimeterai, telah tamat tempoh pada Jun lalu.
Menerusi satu kenyataan media, pihak MKLSB berkata, sebelum ini, Asian Kitchen (M) Sdn Bhd (AKSB) telah memeterai perjanjian untuk mengendalikan perniagaannya, termasuk Atmosphere 360 ​​dan Café 360 dengan MKLSB, yang mana kontrak itu akan tamat tempoh pada 31 Disember 2022.
Dua bulan sebelum tamat kontrak iaitu 10 Oktober tahun sama, MKLSB berkata, makluman awal disampaikan kepada AKSB bahawa penyewaan premis itu tidak akan diperbaharui dan ia akan tamat pada tarikh sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini.
Katanya, AKSB kemudiannya merayu supaya lanjutan sewaan itu dapat dibuat, dan MKLSB bersetuju serta membenarkan syarikat itu menjalankan perniagaan sehingga 30 Jun lalu.
Bagaimanapun katanya, pada 9 Jun lalu, AKSB memfailkan injuksi untuk menghalang MKLSB daripada menguatkuasakan haknya sebagai pemilik, tetapi Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan itu pada 27 Jun.
Susulan itu, setelah tamat tempoh penyewaan pada bulan Jun, MKLSB telah meminta AKSB mengosong premis namun ia tidak diendahkan.
"Walaupun AKSB telah menyalahi undang-undang bermula 1 Julai, MKLSB tidak sekali pun mengganggu operasi dan pengurusan Atmosphere 360 ​​dan Café 360," katanya.
MKLSB ingin menekankan bahawa, semua langkah yang diambil dalam menyelesaikan isu penyewaan ini, dilakukan dengan undang-undang dan prosedur sedia ada.
Katanya, laporan yang dikeluarkan pihak media sebelum ini, kurang tepat kerana pihak mahkamah telah mengeluarkan writ pemilikan, penyitaan dan penjualan, supaya, Atmosphere 360 ​​& Café 360 supaya tidak lagi beroperasi di menara itu.
"MKLSB amat kesal dengan kejadian pada Khamis, kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pengunjung dari dalam dan luar negara.
"Bagaimanapun, sukacita dimaklumkan bahawa seluruh Menara KL beroperasi seperti biasa," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, sebuah restoran ‘berputar’ terkenal di menara komunikasi itu, menghentikan operasi mereka sejak Khamis, susulan perintah pengosongan premis oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Menurut seorang kakitangannya, restoran Atmosphere 360 itu mengesahkan telah diberi masa selama dua minggu iaitu hingga 4 Januari tahun depan untuk berbuat demikian.
“Peguam MKLSB yang dimiliki Hydroshoppe Sdn Bhd memaklumkan mengenai perintah berkenaan yang dikeluarkan mahkamah.
“Saya tidak mahu ulas panjang kerana isu ini membabitkan perintah mahkamah,” katanya. - Sinar Harian
#Menara Kuala Lumpur #restoran berputar #Atmosphere 360 #Caf 360
;