Restoran alami kerugian punca kegagalan perniagaan Kim Seri

Sinar Harian
Disember 22, 2024 00:52 MYT
Kim Seri atau nama sebenarnya Seri Azlina berkata, kerugian itu mula ditanggung sejak Februari lalu berikutan ulasan buruk yang diterima daripada pelanggan mengenai restorannya. - Sinar Harian
SHAH ALAM: Pempengaruh media sosial, Kim Seri mengakui kelemahan pengurusan kewangan perniagaan melibatkan restoran miliknya di Korea Selatan yang mengalami kerugian menjadi punca utama pelbagai masalah timbul melalui pakej pelancongan dikendalikannya.
Kim Seri atau nama sebenarnya Seri Azlina berkata, kerugian itu mula ditanggung sejak Februari lalu berikutan ulasan buruk yang diterima daripada pelanggan mengenai restorannya.
Menurutnya, perniagaan bertambah rugi pada Ramadan dan berlarutan sehingga musim panas iaitu pada Jun hingga Ogos kerana tiada pelancong yang datang ke Korea Selatan ketika itu.
“Pertama, saya akui kelemahan pengurusan daripada saya sendiri. Kedua, kos-kos yang sentiasa bertambah dari semasa ke semasa dan ketiga masalah kelemahan pengurusan kewangan perniagaan di mana sebab paling besar ialah restoran.
“Semuanya bermula pada Februari, kita alami pelbagai kerugian daripada restoran di mana pelanggan beri pelbagai ulasan mengenai restoran dan bertambah rugi pada Ramadan kerana tiada pelanggan dan berlarutan pada musim panas.
“Jadi, restoran alami banyak kerugian dan kita tanggung daripada masalah bayaran bulanan kedai, gaji, cukai yang sangat tinggi dan pembelian barang-barang mentah. Masalah ini banyak ganggu urusan perniagaan termasuk pakej pelancongan,” katanya menerusi siaran langsung di TikTok pada Ahad.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai beberapa individu didakwa menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan milik pempengaruh tempatan yang menetap di Korea Selatan itu dengan jumlah kerugian hampir RM500,000.
Susulan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKSK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf turut mengesahkan menerima 24 laporan daripada mangsa penipuan pakej pelancongan terbabit.
Mengulas lanjut, Kim Seri berkata, dia berjanji akan memulangkan semula wang pelanggan terjejas sebelum atau pada 1 Februari 2025 dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara tersebut.
“Saya sedar insiden ini telah menimbulkan kesan mendalam terutama kepada mangsa-mangsa yang tersadai di lapangan terbang yang tentunya mengalami tekanan hasil daripada keputusan saya yang tak berfikir panjang pada waktu tersebut.
“Saya mohon maaf, saya akan bayar ganti rugi dan semua pakej yang saya tunda, saya akan memulangkan semula wang kepada semua yang terjejas dalam tempoh satu bulan lebih lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Kim Seri, dia akan menggunakan aplikasi TikTok sebagai platform untuk mencari wang bagi membuat bayaran ganti rugi berkenaan memandangkan restorannya itu telah bertukar milik.
“Jadi, untuk menyelesaikan masalah ini, saya hanya ada satu platform iaitu TikTok di mana Kim Seri Restaurant sekarang sudah bertukar milik dan pakej pelancongan saya juga sudah ditutup selain perniagaan lain turut alami kerugian.
“Saya akan guna TikTok sepenuhnya untuk mencari rezeki dan bermula esok, saya akan cari duit di sini. Saya akan buat ‘live’ untuk berniaga dan ini satu-satunya cara untuk saya cari wang untuk bayar balik,” katanya lagi.
- Sinar Harian
#Kim Seri #restoran kerugian #kegagalan perniagaan #Korea Selatan
;