ResQ Team UPSI bantu mangsa banjir di Johor

Aida Aziz
Mac 2, 2023 06:30 MYT
Md Amin (tengah) semasa upacara melepaskan ResQ Team UPSI yang akan bergerak ke daerah Kota Tinggi dan Segamat yang terjejas teruk akibat bencana banjir. - Foto Astro AWANI
TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggerakkan sekumpulan sukarelawan ResQ Team UPSI bagi membantu mangsa banjir di daerah Kota Tinggi dan Segamat, Johor susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, ResQ Team UPSI sentiasa peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan prihatin terhadap masyarakat terutama kawasan yang ditimpa bencana.
“Menerusi kepakaran sukarelawan yang ada, ResQ Team UPSI digerakkan bagi membantu proses menyelamat mangsa yang terjejas akibat bencana yang terjadi di daerah terjejas sungguh pun lokasinya terletak jauh dari kampus di Perak.
“Di sinilah peri pentingnya kita menyusun gerak kerja yang cekap dan tindakan yang dilakukan oleh sukarelawan ResQ Team ini.
"Ia bukan sahaja dapat mendidik serta memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi malah turut menyokong misi dan visi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam menyemarak semangat KPT Prihatin," katanya kepada pemberita selepas sesi flag-off di Majlis Showcase@UPSI pada Khamis.
Menurut Md Amin lagi, ResQ Team turut memberi sumbangan berbentuk pakaian, makanan kering dan barangan keperluan asas yang disalurkan melalui kutipan tabung UPSI Prihatin serta sumbangan daripada badan bukan kerajaan iaitu My FundAction bernilai kira-kira RM37,800.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Norkhalid Salimin berharap usaha ini memberi sinar harapan baru kepada mangsa yang ditimpa bencana, seterusnya memberi sokongan dan dorongan kepada mereka dalam mengharungi ujian.
Misi bantuan ini diketuai oleh Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Mohd Azlan Nafiah bersama-sama 14 orang sukarelawan dengan kekuatan jentera yang terdiri dari tiga buah kenderaan pacuan empat roda dan satu unit lori.
#banjir #mangsa banjir #banjir johor #UPSI
;