Resort milik Tiara di Janda Baik turut terjejas banjir kilat
Saharudin Musthafa
Mei 11, 2022 17:59 MYT
Mei 11, 2022 17:59 MYT
KUALA LUMPUR: Pusat percutian Tiarasa Escapes Glamping Resort yang dimiliki oleh artis terkenal, Puan Sri Tiara Jacquelina di Janda Baik antara yang terjejas ekoran banjir kilat yang melanda kawasan itu awal pagi tadi.
Banjir kilat itu menyebabkan beberapa khemah penginapan Tiarasa yang terletak di tepi sungai serta kolam renang dinaiki lumpur.
Menurut Tiara, berikutan bencana alam itu, pihak pengurusan resort berkenaan tidak mempunyai pilihan lain selain daripada terpaksa menutup operasi selama tiga hari sehingga Jumaat ini bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.
“Kami di Tiarasa juga terkesan dengan banjir kilat yang melanda. Walaupun kami berada di kedudukan tinggi, namun, air tetap mengalir masuk dan menjejaskan beberapa khemah penginapan,” kata Tiara kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Pelakon dan penerbit filem Puteri Gunung Ledang itu mengasaskan pusat percutian Tiarasa Escapes Glamping Resort di Janda Baik di tanah keluasan tiga hektar.
Tiarasa Escapes Glamping Resort yang beroperasi sejak empat tahun lalu menawarkan peluang kepada pengunjung untuk bermalam di dalam khemah-khemah moden yang antaranya terletak di tepi sungai.
Banjir kilat yang melanda Janda Baik, Pahang yang terletak kira-kira 43 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur sekitar awal pagi menyebabkan beberapa laluan terputus.
Dalam masa sama, Tiara memaklumkan, pihak pengurusan Tiarasa juga dengan berat hati terpaksa meminta tetamu-tetamu sedia ada meninggalkan resort berkenaan atas aspek keselamatan.
Antara tetamu yang sedang bercuti di pusat peranginan popular itu ialah pasangan pelakon terkenal, Fazura dan Fattah Amin.
“Kami sangat berat hati untuk meminta mereka meninggalkan Tiarasa. Namun, hanya itu jalan terbaik kerana kami perlu memikirkan soal keselamatan mereka. Insya-Allah dalam masa terdekat, Tiarasa akan kembali boroperasi selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan,” ujarnya yang mengakui sangat berduka dengan tragedi itu
Dalam masa sama, Tiara sangat-sangat berterima kasih kepada masyarakat setempat kerana membantu memaklumkan mengenai banjir kilat itu kepada pengurusan Tiarasa.
Tiara secara peribadi amat menghargai keprihatinan penduduk di sekitar resort berkenaan yang sanggup menghubungi Pengurus Tiarasa sekitar antara pukul 3 hingga 5 pagi meminta untuk berjaga-jaga dan membuat persediaan pemindahan.
“Saya sangat-sangat terharu dengan keprihatinan mereka, lebih-lebih lagi penduduk setempat menyedari penginapan kakitangan dan khemah tetamu Tiarasa terletak betul-betul di tepi sungai. Bila sedar banjir melanda kawasan itu, penduduk pantas menghubungi pengurus dan kakitangan kami,” ujar Tiara lagi.
Berikutan peranan komuniti di Janda Baik memaklumkan dalam kadar segera menyebabkan pengurusan Tiarasa segera memindahkan semua tetamu yang menginap di khemah berhampiran sungai selain kakitangan resort itu.
Tiara turut memanjatkan kesyukuran kerana perniagaan resortnya hanya perlu ditutup operasi untuk jangka masa yang singkat berbanding resort-resort serta penginapan lain di sektar Janda Baik yang lebih berganda terjejas akibat banjir kilat itu.
“Saya rasa bersyukur Tiarasa tidak terkesan teruk sebagaimana beberapa resort dan penginapan lain di Janda Baik. Sedih sangat bila saya melihat video dan foto penginapan lain yang ditenggelami terus dengan air dan lumpur,” ujarnya lagi.
Berikutan tragedi itu, Tiara memohon perhatian daripada pihak berkuasa untuk bersama-sama dengan pengusaha seperti beliau mencari jalan untuk memastikan bencana alam seperti itu dapat dielakkan pada masa hadapan.
“Kami (Tiarasa) sudah empat tahun beroperasi di Janda Baik dan tidak pernah hadapi masalah seperti ini. Oleh itu, kami benar-benar harap pihak berwajib dapat sama-sama membantu agar perniagaan saya dan rakan-rakan lain di Janda Baik tidak lagi terjejas,” pinta Tiara.