Resort lima bintang pertama di pulau Pantai Timur kini dibuka kepada pelancong

Nursyazwani Saiful Sham
Mei 30, 2024 19:13 MYT
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Marriott Resort Perhentian pada Khamis. - Gambar Ikhasas
KUALA BESUT: Pusat peranginan bertaraf lima bintang pertama di pulau Pantai Timur dirasmikan di Pulau Perhentian, Terengganu.

Ringkasan AI
  • Pusat peranginan bertaraf lima bintang pertama di pulau pantai timur dirasmikan di Pulau Perhentian, Terengganu. Percutian mewah serba lengkap, pelbagai kemudahan rekreaksi dan pemandangan flora dan fauna yang cukup mengagumkan di Marriot Resort Perhentian.

Orang ramai kini berpeluang merasai pengalaman percutian mewah serba lengkap, pelbagai kemudahan rekreaksi dan pemandangan flora dan fauna yang cukup mengagumkan di Marriot Resort Perhentian.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Marriott Resort Perhentian pada Khamis.
Turut berangkat berkenan pada majlis tersebut adalah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Resort ini dibangunkan oleh iKHASAS Land, anak syarikat Kumpulan iKHASAS.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan iKHASAS, Ir Tan Chee Kian, projek ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi Kumpulan iKHASAS untuk mencipta pengalaman bertaraf dunia dan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri pelancongan tempatan.
“Saya amat optimis bahawa kehadiran jenama Marriott di Pulau Perhentian akan mencetuskan pengaruh yang ketara di seluruh negeri khususnya di pantai timur.
"Resort ini mewakili visi kami untuk masa depan hospitaliti rakyat Malaysia yang menghargai persekitaran semula jadi kami yang indah sambil menyediakan pengalaman mewah yang memenuhi piawaian antarabangsa dan kami bercita-cita untuk menjadikan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan popular secara universal, menarik perhatian dan pelawat antarabangsa," katanya.
Marriott Resort Perhentian menawarkan 200 bilik deluxe yang indah dan 17 vila, bersama-sama dengan pelbagai kemudahan bertaraf dunia, termasuk pilihan tempat makan gourmet, spa yang canggih dan pelbagai kemudahan rekreasi, semuanya direka untuk menyediakan tetamu dengan pengalaman percutian yang tiada tandingannya.
#pusat peranginan #iKHASAS Land #percutian mewah #lima bintang
;