Resolusi Kongres Budaya jadi antara teras TN50

Harits Asyraf Hasnan
April 15, 2017 14:15 MYT
PM Najib sempena Kongres Budaya 2017 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini. - Astro AWANI/Harits Asyraf Hasnan
Resolusi Kongres Budaya 2017 akan menjadi antara teras penting dalam pembentukan dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penerapan komponen resolusi itu dalam dasar TN50 amat penting seiring pembentukan negara bangsa.
"Resolusi yang dipersetujui dalam kongres budaya ini, saya dan kerajaan akan ambil serius pandangan dan ia mesti diterapkan dalam TN50.
"Saya impikan masyarakat Malaysia yang moden. Saya berhasrat menjadikan Malaysia sebagai negara ke-20 terbaik di dunia bukan saja dari GNI (pendapatan kasar negara) perkapita tetapi dari segi ketinggian budaya dan maruahnya," katanya.
Beliau berucap dalam pelancaran Kongres Budaya 2017 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Kongres Budaya 2017 yang juga Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim; Pengerusi Lembaga UKM, Tan Sri Dr Ibrahim Saat dan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali.
Kongres Budaya 2017 meluluskan 11 resolusi untuk dibincangkan, mengandungi inti pati bagi mempertahan dan menyemarakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi, Rukun Negara sebagai tiang seri negara bangsa, Perlembagaan Persekutuan dipertahan, kedudukan Majlis Raja-Raja serta capaian ekonomi Bumiputera.
Najib akui, pengaruh media sosial seperti YouTube, Facebook dan Twitter seakan memperhebatkan pengaruh budaya luar yang berbeza acuannya berbanding budaya tempatan.
"Apatah lagi dengan penggunaan bahasa rojak yang sedikit sebanyak menghakis keutuhan Bahasa Melayu termasuk bahasa SMS (khidmat pesanan ringkas)," katanya.
Malah, menjadi cabaran besar untuk meletakkan kembali masyarakat ke landasan betul, khasnya dalam mewujudkan masyarakat berbudaya tinggi.
"Bagaimana juga nak bentuk satu kurikulum di sekolah tadika. Kurikulum macam mana dan bagaimana yang boleh memastikan supaya roh Rukun Negara dapat dihidupkan semula sebagai falsafah negara.
"Martabat Bahasa Melayu, polemik Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta bahasa lain. Kita martabat Bahasa Melayu tetapi kita tidak halang penguasaan bahasa kedua.
"Kita mahu semua rakyat tanpa mengira kaum mesti boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik," jelasnya.
#media sosial #Najib Razak #Perdana Menteri #rakyat #TN50 #Transformasi Nasional 2050
;