Resolusi 2022: "Marilah bekerja bersama saya dan rakan-rakan" - PM Ismail Sabri
Astro Awani
Disember 31, 2021 21:51 MYT
Disember 31, 2021 21:51 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh Keluarga Malaysia mencipta sinar baharu sempena tahun 2022.
Pada masa sama, beliau turut mengajak Keluarga Malaysia membuat resolusi untuk meraikan persamaan dan mengenepikan perbezaan yang wujud.
"Marilah bekerja bersama saya dan rakan-rakan di dalam kerajaan untuk meneruskan agenda kemajuan negara tercinta ini," katanya semasa menyampaikan perutusan khas sempena Tahun Baharu 2022 hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata tahun 2022 juga adalah tahun untuk Malaysia kembali ke landasan bagi menetapkan pelan ekonomi negara jangka masa panjang.
Ujarnya, beberapa tema mustahak perlu digerakkan pada tahun 2022 antaranya pemerkasaan ekonomi digital sejajar dengan tuntutan realiti semasa.
"Atas kesedaran sama tentang perlunya mengadaptasi kepada keperluan kini dan masa depan, Malaysia juga telah memberikan komitmen bagi mencapai status “carbon-neutral nation” pada tahun 2050.
"Transformasi ke arah ekonomi dan masyarakat yang cakna terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (atau ESG) memerlukan peralihan dalam pelbagai aspek pengurusan, pentadbiran dan kerangka minda dalam pembuatan dasar.
"Misalnya, dalam soal peluang pekerjaan yang bakal dijana, Malaysia perlu bersedia untuk mewujudkan satu ekosistem yang mampu menjana aktiviti-aktiviti dan pasaran pekerjaan yang selari dengan tuntutan dan keperluan ke arah ekonomi dan masyarakat yang mesra ESG," katanya.
Tambah beliau, ini merupakan antara inisiatif yang beliau anggap penting mengambil inspirasi suara anak-anak muda Keluarga Malaysia untuk mewariskan sebuah negara lestari kepada generasi akan datang.
Justeru katanya, sistem pendidikan sedia ada akan disesuaikan agar lebih menjurus kepada aspek ESG di mana kurikulum Pendidikan TVET khususnya perlu ditambah baik untuk memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan ini.
"Dari sudut yang berbeza pula, aspirasi ESG ini juga memerlukan keberanian pihak kerajaan untuk mewujudkan rangka dasar dan insentif yang lebih kondusif.
"Sebab itulah, antara insentif yang membuktikan Kerajaan komited dengan agenda ini ialah pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais, cukai jualan malahan cukai jalan bagi kenderaan elektrik.
"Kerajaan juga sedar, dalam mencapai matlamat ini, ekosistem sokongan seperti infrastruktur bagi kenderaan elektrik perlu dibangunkan dan dipertingkatkan seperti di negara maju," katanya.
Mengulas dari aspek sosial dan kesejahteraan rakyat, Ismail Sabri berkata fokus kerajaan adalah untuk memenuhi keperluan perumahan generasi muda Keluarga Malaysia.
Menurut beliau, aspek itu akan turut melibatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di mana konsep Smart Safe City akan diperkenalkan secara berperingkat bermula di bandar-bandar utama seluruh negara.
"Di samping agenda-agenda yang telah saya sebutkan sebentar tadi, perkara asas, yakni kemiskinan masih menjadi keutamaan saya.
"Seperti yang saya janjikan, nilai teras Keluarga Malaysia adalah Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran dan tiada seorang pun yang harus tertinggal.
"Saya sendiri akan mengetuai inisiatif Pembasmian Kemiskinan oleh kerajaan melalui penubuhan Unit Kemiskinan yang diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan daerah bagi menangani isu kemiskinan dan jurang pendapatan. Ini meliputi kemiskinan di bandar mahupun di luar bandar," ujarnya.
Atas semangat keterangkuman yang sama, beliau berkata kerajaan akan terus memberi fokus kepada kemajuan dan pembangunan luar bandar di serata Semenanjung, Sabah dan Sarawak.