Reruai bantuan guaman dibuka di semua premis mahkamah

Bernama
Mac 11, 2024 23:30 MYT
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Man (tiga,kiri) bersama Presiden Majlis Peguam Negara, Karen Cheah (tengah) bergambar bersama semasa melawat reruai pameran pada Hari Bantuan Guaman Majlis Peguam di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Reruai bantuan guaman akan dibuka di semua premis mahkamah di Semenanjung Malaysia bulan depan bagi orang awam mendapatkan akses kepada bantuan guaman.
Presiden Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn hari ini berkata reruai itu akan dibuka pada hari Rabu pertama setiap bulan bagi memastikan individu yang tidak berkemampuan dapat menerima nasihat undang-undang dan perwakilan undang-undang.
Beliau berkata kini terdapat 14 pusat bantuan guaman di Semenanjung Malaysia, memenuhi keperluan setiap negeri yang telah membantu lebih daripada 124,000 orang sejak sedekad lalu.
"Menariknya, jika kita mengandaikan bahawa yuran profesional adalah pada kadar nominal RM1,000 setiap fail, anggota sukarelawan kita telah memberikan khidmat guaman bernilai RM120 juta sejak sedekad lalu. Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur sahaja telah membantu lebih 2,700 warga asing tahun lalu.
"Ini termasuk mengambil bahagian dalam program kesedaran undang-undang atau program outreach'anjuran pusat bantuan guaman negeri,"katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Hari Bantuan Guaman Majlis Peguam di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
Menyentuh latar belakang pusat bantuan guaman itu, Cheah berkata Majlis Peguam memulakan pusat pertamanya pada 1980, mula-mula di kedai kopi kampung kecil dan kemudian di pondok kayu di perkampungan nelayan Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Beliau berkata pada masa itu, bantuan guaman dan nasihat percuma diberikan kepada pekerja kilang (kebanyakannya wanita bujang) di Zon Perdagangan Bebas, nelayan dan petani di kawasan itu.
-- BERNAMA
#reruai bantuan guaman #premis mahkamah #Majlis Peguam #Karen Cheah Yee Lynn #Semenanjung Malaysia
;