KUALA LUMPUR: Republik Czech bersedia untuk memperkenal Strategi Indo-Pasifiknya sendiri menjelang akhir tahun bagi memastikan kepentingan negara itu dilindungi, selain bekerjasama dengan negara-negara di rantau ini dalam pelbagai isu global yang mendesak di sebalik geopolitik yang berubah dengan pesat.

Duta Khas Republik Czech bagi Indo-Pasifik, Libor Secka berkata Strategi Indo-Pasifik itu kini di peringkat akhir untuk diterima pakai, dan menambah bahawa kawasan Indo-Pasifik merupakan antara kawasan keutamaan dalam dasar luar negaranya serta dalam kedudukannya sebagai presiden dalam Majlis Kesatuan Eropah.

Menurut Secka, kehadiran Republik Czech di rantau ini bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan mereka telah pun berada di sini sejak 1920-an, dan negara Eropah itu sentiasa berminat dengan pelbagai perkembangan di Indo-Pasifik.

"Hakikat bahawa kami mempunyai strategi nasional di Indo-Pasifik membuktikan minat kami terhadap rantau ini dan cara kami melihat kepentingan Indo-Pasifik.

"Kami adalah pemain antarabangsa yang bertanggungjawab. Jadi kami ingin menangani cabaran semasa seperti isu berkaitan keselamatan maritim dan keselamatan siber. 

"Kita perlu bersedia untuk bekerjasama dengan rakan kongsi di rantau ini," katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini, baru-baru ini.

Pada Jun, Republik Czech menganjurkan Dialog Peringkat Tinggi mengenai Indo-Pasifik di ibu negaranya, Prague.

Beliau berkata dalam aspek ekonomi, wilayah Indo-Pasifik sangat penting kepada negara itu kerana beberapa sebab, termasuk Republik Czech sebagai negara ekonomi terbuka yang berorientasikan eksport. Secka berkata kira-kira 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Republik Czech membabitkan eksport.

Secka berkata Republik Czech juga sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa. Oleh itu, penting bagi negara seperti Republik Czech untuk bekerjasama dengan negara-negara di rantau ini bagi memastikan Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan terjamin untuk eksport dan import barangan tanpa gangguan, serta pergerakan rantaian bekalan.

Perdagangan kami sangat berkaitan dengan rantau Indo-Pasifik. Sebarang gangguan bermakna gangguan kepada ekonomi kami," katanya.

Secka berkata rantau Indo-Pasifik juga penting bagi negara itu daripada segi keselamatan memandangkan terdapat kecenderungan dalam kalangan beberapa negara di rantau ini untuk mengubah peraturan dan ketenteraman antarabangsa atau mengubah status quo peraturan antarabangsa.

Beliau memetik perang yang berterusan di Ukraine di mana peraturan antarabangsa telah diubah dan "jika kita menerima cara ini, ia boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk di Indo-Pasifik".

Republik Czech mahu bekerjasama dalam isu keselamatan dan cabaran global lain seperti perubahan iklim, dengan rakan kongsi di Indo-Pasifik.

Menjawab soalan, Duta Khas itu berkata dalam banyak cara, Strategi Indo-Pasifik Republik Czech itu adalah sejajar dengan Strategi Indo-Pasifik Kesatuan Eropah serta tinjauan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP).

AOIP yang diterima pakai pada Jun 2019, antara lain adalah berasaskan prinsip untuk mengukuhkan Pemusatan ASEAN, keterbukaan, keterangkuman, rangka kerja berasaskan peraturan, tadbir urus yang baik, menghormati kedaulatan, tidak campur tangan dan menghormati undang-undang antarabangsa.

Mengikut Strategi Kerjasama EU di Indo-Pasifik, EU menyasarkan untuk menyumbang kepada kestabilan, keselamatan, kemakmuran dan pembangunan mampan rantau ini, selaras dengan prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

"Strategi Indo-Pasifik EU membantu kami bersedia untuk melaksanakan strategi kami sendiri," kata Secka.

Menurut Secka, Republik Czech telah mengenal pasti tiga bidang kerjasama dengan wilayah Indo-Pasifik di bawah Strategi Indo-Pasifiknya, serta majlis Kesatuan Eropah yang dipengerusikan oleh republik itu.

Pertama, terutamanya perlindungan alam semula jadi. Beliau berkata pada 14 Sept, kedua-dua kerajaan Republik Czech dan kerajaan Indonesia bersetuju untuk menubuhkan tiga kumpulan kerja dalam perubahan iklim, bio-diversiti dan pengurusan sisa.

Satu lagi bidang kerjasama yang dikenal pasti angkasa, terutama di bawah program program Copernicus - pembekal data pemantauan Bumi Kesatuan Eropah.

Secka berkata di ASEAN, terdapat kira-kira 56 juta orang yang terjejas oleh bencana alam setiap tahun.

"Jika kita dapat manfaatkan Program Angkasa Kesatuan Eropah (EUSPA) yang beribu pejabat di Praque, kehidupan manusia akan lebih baik," kata Secka.

Satu lagi bidang adalah industri angkasa lepas dan penerbangan, di mana Republik Czech mempunyai banyak pengalaman selama beberapa dekad. Beliau berkata Global Action on Space, dengan kerjasama presiden Republik Czech bagi Majlis Kesatuan Eropah, akan menganjurkan seminar mengenai kerjasama angkasa lepas di Bangkok pada Oktober ini.

Bidang terakhir yang dikenal pasti untuk kerjasama adalah keselamatan siber di mana Secka berkata Minggu Siber Antarabangsa Singapura 2022 akan membuka peluang untuk pakar dari ASEAN dan Republik Czech bertemu.

Ketika di sini, Secka turut bertemu para pegawai kanan Kementerian Luar Malaysia dan memaklumkan kandungan Strategi Nasional Indo-Pasifik Republik Czech serta aktiviti anjuran Majlis Kesatuan Eropah.

-- BERNAMA