Representasi ketiga pemilik kelab komedi Crackhouse kaji tuduhan masih diteliti - Pendakwaan

Bernama
Jun 13, 2023 14:41 MYT
AGC pada 20 Jan dan 31 Mei lepas menolak representasi pertama dan kedua dikemukakan Mohamad Rizal bagi menggugurkan tiga pertuduhan tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) masih meneliti representasi ketiga oleh pemilik kelab komedi Crackhouse Mohamad Rizal Van Geyzel supaya tiga pertuduhan yang dihadapinya berhubung video yang menyentuh sensitiviti kaum di Instagram, Twitter dan TikTok miliknya dikaji semula.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Priscilla Hemamalini Nadarajan bahawa pihaknya telah menerima representasi yang difailkan Mohamad Rizal pada 7 Jun lepas.
"Representasi ketiga telah diterima dan masih dalam penelitian AGC. Setakat ini masih tiada keputusan dan kami mohon satu lagi tarikh baharu untuk memaklumkan mahkamah keputusan representasi tersebut," katanya.
Peguam M. Pravin yang mewakili Mohamad Rizal mengesahkan perkara itu.
Mahkamah menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan bagi keputusan representasi.
AGC pada 20 Jan dan 31 Mei lepas menolak representasi pertama dan kedua dikemukakan Mohamad Rizal bagi menggugurkan tiga pertuduhan tersebut.
Mohamad Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil 'Rizal van Geyzel, Instagram 'rizalvangeyzel' dan TikTok 'rizalvangeyzel', antara 4 hingga 6 Julai 2022.
Ketiga-tiga hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ di sini, pada 1.17 tengah hari, 13 Julai tahun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.
-- BERNAMA
#Peguam Negara #kelab komedi Crackhouse #Rizal Van Geyzel #status kes
;