Repositori kelulut terbesar dunia akan dibangun semula

Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
September 10, 2022 06:15 MYT
Pengurus Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS) Mohd Amran Awang melihat keadaan kawasan Pusat Repisotori Kelulut Indo-Malaya yang terjejas berikutan banjir besar semasa tinjauan di Taman Pertanian Negeri Sekayu. - Foto fail/BERNAMA
HULU TERENGGANU: Pusat Repositori Kelulut Indo-Malaya di Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS), Hulu Terengganu yang musnah akibat banjir luar jangka pada Februari lepas akan dipulih dan dibangunkan semula.
Pengurusnya Mohd Amran Awang berkata, usaha perlu dimulakan dari awal berikutan 65 sarang kelulut pelbagai spesis rosak sepenuhnya selepas ditenggelami air.
Menurut Mohd Amran, pihaknya mengalami kesukaran untuk mengumpulkan semula 25 spesis kelulut yang jarang ditemui termasuk heterotrigona itama, lepidotrigona terminata, tetrigona bighami dan tetrigona melanolueca.
"Bagi saya tersangat sukarlah untuk kita dapatkan balik. Sebab kita terpaksa mencari bukan satu tempat, kita terpaksa pergi ke berbagai-bagai tempat dan tak semestinya apabila kita pergi ke tempat itu ia ada.
"Dulu kita ada minta perkhidmatan daripada Orang Asli untuk cari spesies itu. Damar inilah yang kebanyakannya dari hutan tebal, bukan dari kawasan perkampungan," jelasnya.
Mohd Amran berkata sebelum ini TPNS menjadi tumpuan penyelidik dari dalam dan luar negara.
Bencana itu menyebabkan Pusat Repositori Kelulut Indo-Malaya, yang dibuka pada 2016 hasil kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), serta pelbagai kemudahan lain musnah dengan kerugian mencecah RM1 juta.
BACA: Repositori Kelulut Indo-Malaya UMT, terbesar di dunia musnah akibat banjir
#kelulut #Mohd Amran Awang #Pusat Repositori Kelulut Indo-Malaya #TPNS
;