Replika Kaabah, skrin LED tarikan terbaharu Masjid Razaleigh
Muhafandi Muhamad
April 19, 2022 05:45 MYT
April 19, 2022 05:45 MYT
GUA MUSANG: Replika Kaabah dan skrin LED kini menjadi tarikan terbaharu dalam usaha menarik pelancong singgah ke Masjid Razaleigh di Gua Musang, Kelantan yang mirip model Masjidil Haram, Mekah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, idea memasang replika Kaabah itu dicetuskan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu teknologi terkini yang memaparkan ayat suci al-Quran dan imam membaca khutbah di skrin LED digunakan di Masjid Razaleigh.
Menurutnya, sejak Masjid Razaleigh dibuka secara rasmi, kira-kira 2,000 pengunjung sehari hadir untuk bersolat dan melawat masjid itu.
Katanya, pihaknya juga giat membuat persiapan dengan membuka lebih banyak ruangan di Masjid Razaleigh bagi membolehkan 4,000 jemaah solat sunat Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
"Di bulan Ramadan ini, kita melihat ramai kalangan anak perantau yang singgah. Ada yang bermalam di Gua Musang semata-mata untuk solat subuh berjemaah.
"Mereka ingin solat berjemaah di 'Masjidil Haram' ini yang mana ia merupakan satu tarikan selepas ia viral di media sosial.
"Ia telah menarik ramai anak Kelantan untuk melihat sendiri dan ini dapat kita lihat apabila pengunjung tidak putus-putus, bukan sahaja di waktu solat utama, tetapi di waktu solat duha selepas asar, selepas isyak, mereka ambil gambar di dalam atau sekitar masjid ini," kata Mohd Syahbuddin.
Sementara itu, orang ramai teruja melihat replika Kaabah yang baharu siap dipasang di masjid itu.
"Dengan adanya replika Kaabah ini tambah mengujakan lagi orang ramai dari luar Gua Musang untuk datang ke sini kerana inilah satu-satunya model Masjidil Haram yang berada di Malaysia selepas Mekah.
"Mungkin dapat mengubat rindu kepada mereka yang tidak dapat ke Mekah. Dan tempat ini juga boleh kita adakan kursus untuk haji nanti," kata Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.
"Alhamdulilah sangat terujalah dari segi pelancong memang ramai datang. Lagipun pelajar di Kelantan ini ramai tumpu perhatian di Masjid Razaleighlah.
"Sama nak solat berjemaah, ambil gambar dan macam-macam lagi," kata pelajar Mohd Zaidatul Azizi Mohd Zaidatul Azman.
Setelah tertangguh hampir dua tahun, Masjid Razaleigh yang mirip Masjidil Haram Mekah dibuka secara rasmi pada 1 April lalu.
Pembukaan masjid bernilai RM34 juta itu sebelum ini terpaksa ditangguh berikutan penularan COVID-19 yang masih belum reda sepenuhnya.