Replika helang: Perbincangan lebih mendalam perlu dilakukan - Rais

Bernama
September 6, 2016 22:04 MYT
Cadangan merobohkan replika helang itu perlu dibincangkan sebaik mungkin kerana perlu mengambil kira kewujudaan Tugu Negara di Kuala Lumpur dan patung kucing di Kuching, Sarawak, misalnya. - Gambar fail
Perbincangan lebih mendalam dengan mengambil kira nilai estetika Islam perlu dilakukan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan dan keputusan untuk merobohkan replika burung helang di Dataran Lang, Langkawi, Kedah.
Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata ini berikutan replika burung itu sebelum ini menjadi simbol keindahan tarikan pelancongan di Kedah dan bukannya disembah mana-mana pihak.
"Keindahan yang dilihat menerusi kaca mata Islam itu tetap ada, bukan tidak ada. Kita harus mengambil iktibar daripada nas bahawa Allah itu menyukai benda-benda yang cantik dan indah, jadi hal itu (cadangan meroboh replika helang) perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira hal ini," katanya.
BACA: Tugu burung helang: 'Dilarang bina replika benda hidup' - Harussani
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Perubatan Pakar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)(IMSC) di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi IMSC Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Rektor UIAM Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin.
Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim sebelum ini dipetik sebagai berkata memasang replika helang itu sebagai mercu tanda adalah haram kerana menyerupai bentuk haiwan hidup dan ia wajar dirobohkan.
Rais yang juga Presiden UIAM berkata cadangan merobohkan replika helang itu perlu dibincangkan sebaik mungkin kerana perlu mengambil kira kewujudaan Tugu Negara di Kuala Lumpur dan patung kucing di Kuching, Sarawak, misalnya.
Beliau berkata pihak berkuasa perlu berfikir secara mendalam berhubung cadangan berkenaan demi membina sahsiah budaya dan kemasyarakatan di negara ini.
Dalam perkembangan lain, Rais berkata tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ke mahkamah sebagai tanda memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan Dr Mahathir 'rindu' kepada ketua pembangkang itu kerana teringat kembali peristiwa lepas.
"Tetapi tak salah kalau beliau bersalaman dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim barangkali dalam hatinya terasa apa yang beliau lakukan dahulu sebelum kes dihadapi Anwar sekarang, namun kita tidak dapat menjawab semuanya (sebab Dr Mahathir ke mahkamah)," katanya.
#Abdul Aziz Abdul Rahman #dataran lang #dr zaleha kamaruddin #Langkawi #Rais Yatim #replika helang
;