Replika berbentuk dam aji, konda kondi dipilih sebagai cenderahati rasmi WTD, WTC
Bernama
Mac 20, 2025 07:00 MYT
Mac 20, 2025 07:00 MYT
Tiong menerima cenderahati yang disampaikan oleh Ab Rauf pada Majlis Perasmian Program Sesi Libat Urus bersama Penggiat Industri Pelancongan (Melaka) di sebuah hotel di Melaka, 20 Mac 2025. — fotoBERNAMA
MELAKA: Replika berbentuk dam aji dan konda kondi, dua sukan tradisional warisan dipilih sebagai cenderahati rasmi bagi sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Forum Pelancongan Sedunia (WTC) pada September 2025.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia sebagai inisiatif mengangkat dua sukan tradisional itu ke mata dunia, terutamanya apabila Melaka menjadi tuan rumah kepada sambutan itu yang akan dihadiri delegasi seramai 155 yang terdiri menteri pelancongan dari negara luar.
"Selain itu ia juga sebahagian daripada langkah untuk memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama yang turut memberi tumpuan kepada sukan pelancongan," katanya ketika berucap merasmikan Program Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Melaka 2025 di Bukit Cina di sini semalam.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy.
Beliau juga berharap sesi libat urus yang diadakan semalam dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua jabatan dan agensi berkaitan untuk memperoleh maklumat lebih terperinci daripada MOTAC.
"Seterusnya input berkenaan diperhalusi dan dipertimbangkan dengan teliti dalam usaha memajukan industri pelancongan di bumi Melaka ini yang menyaksikan kerajaan negeri sentiasa komited meningkatkan infrastruktur dan fasiliti pelancongan yang mampan," katanya.
Dalam usaha memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pelancongan mampan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Tourism Malaysia menganjurkan Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan di Melaka sekali gus menjadi negeri kelima selepas Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Selangor.
Sesi libat urus seterusnya akan diadakan di pantai timur bermula di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Sebanyak lima pembentangan disampaikan pada sesi itu, iaitu "Strategic Direction Towards VM2026", "Visit Malaysia Secretariat 2026", Geran Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN) 2025, Geran Sokongan Sektor Pelancongan 2025 dan Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC) 2025.
-- BERNAMA