Rentung dua beradik: Mangsa tinggal berdua semasa kejadian - Polis
Muhammad Aiman Hakeem
September 3, 2022 22:00 MYT
September 3, 2022 22:00 MYT
JOHOR BAHRU: Dua beradik yang rentung dalam satu kejadian kebakaran di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri di sini, tengah hari tadi tinggal berdua di rumah semasa insiden kebakaran berlaku.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat yang mengesahkan perkara itu memaklumkan, ibu kepada mangsa berada di rumah jiran, manakala bapa mereka bertugas di luar
"Ketika kejadian, bapa mangsa pergi kerja manakala ibu mangsa tiada di rumah dan berada di kawasan kejiranan berdekatan.
"Kanak-kanak itu hanya tinggal berdua sebelum dilaporkan terkorban,
"Difahamkan kediaman yang terbakar itu disewa dan dihuni oleh keluarga terbabit," katanya ketika dihubungi, petang tadi.
Menurut beliau, pihaknya masih menunggu laporan forensik kebakaran bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
"Kita masih lagi menunggu laporan forensik daripada bomba. Kalau mereka (bomba) kata ada unsur jenayah, baru kita siasat.
"Setakat ini belum ada kepastian sama ada punca kebakaran disebabkan litar pintas atau sebagainya dan kita serahkan kepada pihak pomba untuk menyiasat perkara ini," katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan, dua beradik, Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri, 2 tahun, dan Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3 tahun, ditemukan rentung di ruangan bilik tidur dalam satu kejadian kebakaran rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, di sini, tengah hari tadi.
Sebelum ini, ibu mangsa dilaporkan berada di rumah bersama dua lagi mangsa ketika kebakaran berlaku.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Ridzuan Malek Rivan memaklumkan, jenazah mangsa telah diserahkan ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, bagi urusan selanjutnya.
#dua beradik rentung
#Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri
#Muhammad Zafran Muhammad Fikri
#kebakaran
#Kampung Dato Sulaiman Menteri
#Jalan Bunga Raya Besar