Rentas negeri: Wujudkan pusat rujukan jawab dakwaan pilih kasih - Pensyarah

Astro Awani
Mei 3, 2021 12:22 MYT
Menurut Noor Nirwandy, kenyataan berbaur provokasi boleh menimbulkan ancaman keselamatan dan kerisauan sekiranya komen yang bermula atas dasar tidak puas hati menjadi lebih provokatif. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mewujudkan pusat rujukan bagi memperjelas dakwaan orang ramai terdapat elemen pilih kasih dalam pemberian kelonggaran rentas negeri dan pengendalian majlis tertentu semasa negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ia penting bagi membantu memperjelaskan rungutan masyarakat awam berhubung permohonan mereka yang ditolak.
Tegasnya, ia juga perlu bagi menangani trend segelintir masyarakat yang gemar mempertikaikan keputusan pihak berkuasa berhubung rentas negeri dan pengendalian majlis, di media sosial.
Noor Nirwandy berkata, melalui pusat rujukan ini, persepsi masyarakat dapat ditangani dengan lebih baik dan ia dapat membantu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan perkara itu dalam tempoh PKP.
"Laman web seperti sebenarnya.my boleh ditambah baik dan mewujudkan ruangan khas bagi menangani perkara tersebut atau mewujudkan pusat rujukan bersesuaian yang lain.
"Masyarakat juga dinasihatkan tidak membuat kenyataan berunsur provokatif dalam media sosial berhubung pengurusan COVID-19 tetapi seharusnya memberikan maklum balas konstruktif bagi tujuan penambaikan apa jua aspek pengurusan pandemik oleh kerajaan.
"Apa-apa kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 505b Kanun Keseksaan. Masyarakat juga terikat dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Ordinan Berita Tidak Benar dalam tempoh darurat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: COVID-19: Haram langgar larangan rentas negeri - Mufti Wilayah
BACA: Rakyat tidak jaga SOP tambah beban kepada kesihatan negara - Sultan Johor
Dalam pada itu, jelas Noor Nirwandy, kenyataan berbaur provokasi boleh menimbulkan ancaman keselamatan dan kerisauan sekiranya komen yang bermula atas dasar tidak puas hati menjadi lebih provokatif.
Tambahnya, ia berkemungkinan dimanipulasi golongan yang ingin mengambil kesempatan.
"Justeru, satu pengurusan isu yang baik perlu diadakan bagi kepentingan masyarakat dan negara.
"Kebersamaan penting dalam membantu kerajaan mempertingkatkan pengurusan keselamatan kesihatan COVID-19 demi kebaikan bersama," katanya.
#Sultan Johor #UiTM #SOP #COVID-19 #PKP #rentas negeri #media sosial #pandemik #perintah kawalan pergerakan #kesihatan #kerajaan #rakyat #keselamatan #Noor Nirwandy Mat Noordin #Majlis keraian #majlis keramaian
;