Rentas negeri: Trafik di Pulau Pinang meningkat 38 peratus

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 16, 2021 18:27 MYT
Aliran trafik di Pulau Pinang merekodkan peningkatan sehingga 38 peratus sejak semalam susulan kebenaran merentas negeri serta cuti hujung minggu. - Gambar Astro AWANI
GEORGE TOWN: Aliran trafik di Pulau Pinang merekodkan peningkatan sehingga 38 peratus sejak semalam susulan kebenaran merentas negeri serta cuti hujung minggu.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, meskipun kenderaan bertambah hampir 100 peratus khususnya di kawasan Timur Laut, namun, setakat ini situasi masih lagi terkawal.
Fisol berkata, pemantauan pihaknya mendapati terdapat pelancong luar negeri seperti Melaka, Johor, Selangor serta Kelantan mengambil kesempatan berkunjung ke Pulau Pinang.
“Dalam konteks negeri Pulau Pinang memang ada kenaikan (aliran trafik) kemungkinan orang ambil kesempatan balik kampung… agak sesak, jadi kita ambil persediaan.
“Semalam kita ada buat operasi, kita ada keluarkan 357 saman trafik, kita buat sitaaan, itu adalah langkah kita untuk pastikan semua patuh SOP (prosedur operasi standard),” katanya.
Fisol berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan pemantauan menerusi Program 'Outreach COVID-19' di pesisir pantai Batu Feringghi dan juga hotel di kawasan berkenaan.
Pada program itu, beliau bersama Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong turut meninjau di beberapa lokasi tumpuan seperti restoran nasi kandar di George Town pada Sabtu.
BACA: Restoran nasi kandar di Pulau Pinang diserbu pelancong
Sementara itu, susulan pertambahan jumlah pelancong di Pulau Mutiara, beliau berkata, pihak polis akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan pematuhan SOP di lokasi-lokasi tumpuan.
Dalam masa sama, Fisol menjelaskan, polis negeri juga melakukan persediaan bagi menghadapi kes jenayah lain dan kemalangan khususnya apabila kelonggaran dan beberapa sektor dibuka.
Katanya, pematuhan SOP di semua peringkat berada pada tahap memuaskan, dan polis berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama menjelang fasa endemik pada akhir bulan ini.
#aliran trafik #meningkat 38 peratus #pulau pinang #pergerakan rentas negeri
;