Rentas negeri: Tidak mengapa berseorangan, demi keselamatan anak, cucu - Bapa tunggal
Muhafandi Muhamad
April 25, 2021 17:44 MYT
April 25, 2021 17:44 MYT
KOTA BHARU: Bersahur, berbuka puasa, malahan menyambut lebaran berseorangan selama beberapa tahun sudah menjadi kebiasaan buat seorang bapa di Pengkalan Chepa, Kelantan.
Azni Zainal Abidin, 66 tahun yang kematian isteri hampir sembilan tahun lalu, mempunyai tujuh anak, dengan empat darinya bertugas sebagai barisan hadapan.
Kesemua anak-anaknya bertugas di luar Kelantan dan tahun ini merupakan tahun kedua dia tidak dapat berbuka puasa dan menyambut Aidilfitri bersama anak-anak.
“Empat, lima tahun saya seorang di rumah ini dan dua tahun kebelakangan ini, macam tahun lepas dan tahun ini, raya puasa dan berpuasa berseorangan.
“Seorang pun anak tak boleh balik sebab pandemik, tidak boleh rentas negeri, jadi saya terpaksa sambut seorang diri Aidilfitri di sini.
“Tiada masalah sambut Aidilfitri seorang ke, ramai ke, tetapi masalahnya Aidilfitri kedai makan tak buka,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di kediamannya di sini.
Anak sulung Azni merupakan anggota polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang bertugas di Bukit Aman, anak ketiga sebagai jururawat, anak kelima sebagai penghantar makanan manakala yang bongsunya bertugas sebagai anggota tentera laut di Kota Kinabalu, Sabah.
Kisah Ramadan | Utamakan keselamatan, biar terpaksa keseorangan
Manakala anak-anak yang lain bertugas di syarikat swasta di Kuala Lumpur dan juga Pahang.
Mengakui sering kali sunyi bahkan hilang selera berbuka puasa apabila berseorangan, dia membuat panggilan video kepada anak-anak yang kadang kala dilakukan ketika hendak berbuka puasa.
“Selera (makan) tu agak kuranglah. Biasanya, dahulu makan dengan anak-anak, ramai.
“Sekarang ini, makan seorang diri, nak buat macam mana? Walaupun sedih ke tidak, hakikat itu kita kena terima,” katanya.
Menurut Azni lagi, musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan menyukarkan untuk berbuka puasa di kedai makan dan hanya membeli juadah berbuka di rumah.
Arwah isterinya, Rabiah Abdullah meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2012.
Menyedari kes COVID-19 di Kelantan meningkat, dia menasihatkan anak-anaknya supaya tidak pulang.
“Saya ada juga beritahu anak-anak, menasihatkan mereka memandangkan kes COVID-19 ini terlalu tinggi dalam negara.
“Saya ada pesan kepada anak anak, kalau boleh tak perlu balik, bukan tak bagi balik tapi, demi keselamatan lebih baik jangan balik,” katanya.
Bagi Azni, keselamatan anak cucu lebih diutamakan berbanding keinginannya untuk menyambut lebaran bersama anak cucu.
#Ramadan
#COVID-19
#rentas negeri
#Aidilfitri
#keselamatan
#Bukit Aman
#polis
#puasa
#PKP
#bapa tunggal