Rentas negeri: Perantau, rakyat Kelantan diingatkan agar patuh SOP tahap tertinggi

Muhafandi Muhamad
Oktober 13, 2021 12:47 MYT
DR ZAINI: Saya berharap supaya semua perantau atau rakyat Kelantan supaya mematuhi SOP yang ditetapkan kerana kita kena faham, walaupun rentas negeri dibenarkan, virus itu masih ada dalam komuniti. -Gambar fail
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan bimbang berlaku perhimpunan ahli keluarga, pertemuan secara berkumpulan susulan jangkaan kepulangan perantau pada hujung minggu ini.
Sehubungan itu, pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin mengulangi peringatan supaya penduduk negeri itu kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) pada tahap tertinggi supaya tidak berlaku peningkatan kes secara mendadak.
Kebimbangan itu berdasarkan jangkaan kemasukan lebih 50,000 kenderaan pada cuti hujung minggu ini.
"Saya jangkakan dengan peningkatan (kemasukan) ini akan berlaku aktiviti perhimpunan, gathering bersama keluarga dan rakan-rakan.
"Ini akan meningkatkan risiko penularan yang kita lihat di Kelantan ini masih lagi agak tinggi bilangan walaupun dalam Kategori 1 dan 2.
"Jadi saya berharap supaya semua perantau atau rakyat Kelantan supaya mematuhi SOP yang ditetapkan kerana kita kena faham, walaupun rentas negeri dibenarkan, virus itu masih ada dalam komuniti," kata Dr Zaini.
Sehingga kini masih terdapat 22 pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) seluruh Kelantan dengan lebih 2,370 pesakit yang menjalanj kuarantin.
Walaupun pesakit COVID-19 yang dirawat itu dalam kategori 1 dan 2, namun angka harian masih lagi tinggi.
#patuh SOP #Zaini Hussin #perhimpunan ahli keluarga #perantau pulang ke kelantan
;