Rentas negeri, melancong dalam dan luar negara dibenarkan mulai hari ini

Afiezy Azaman
Oktober 10, 2021 06:26 MYT
Selepas sembilan bulan larangan rentas negeri dikuatkuasakan sejak 10 Januari lalu, kerajaan akhirnya bersetuju membenarkan perjalanan antara negeri juga luar negara bermula hari ini. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selepas sembilan bulan larangan rentas negeri dikuatkuasakan sejak 10 Januari lalu, kerajaan akhirnya bersetuju membenarkan perjalanan antara negeri juga luar negara bermula hari ini.
Perkara yang dinantikan semua pihak itu diumumkan perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ini selaras dengan data di portal COVIDNOW yang menunjukkan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus, setakat semalam.
Keluarga Malaysia dibenar melakukan aktiviti pelancongan ke mana-mana negeri, selain bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang sudah lama berpisah dan sebagainya.
Rakyat Malaysia juga dibenar melakukan perjalanan ke luar negara, termasuk untuk melancong tanpa melalui MyTravelPass Jabatan Imigresen.
Bagaimanapun, individu terbabit mesti lengkap dua dos vaksin COVID-19 dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari sebaik pulang ke tanah air.
Walaupun sekatan-sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri akan ditutup bermula tengah malam tadi, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya akan mengekalkan SJR di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPKD), Op Benteng dan kawasan cegah jenayah.
Dalam masa sama, hanya mereka lengkap divaksinasi dibenarkan merentas negeri dan pemeriksaaan secara rawak akan dilakukan oleh polis untuk mengesan mereka yang didapati melanggar arahan tersebut.
Susulan kelonggaran rentas negeri, aliran trafik dijangka meningkat bermula hari ini.
#COVID-19 #rentas negeri #lengkap dua dos vaksin COVID-19 #MyTravelPass
;