Rentas Negeri: KTMB tambah ETS, KTM Antarabandar mulai 14 Oktober 2021

Dagang News
Oktober 12, 2021 07:50 MYT
Perkhidmatan ETS akan beroperasi dengan 12 servis setiap hari berbanding dua pada ketika ini. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah jumlah perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) dan KTM Antarabandar mulai 14 Oktober ini.
Jualan tiket bermula semalam (Selasa) mulai jam 3 petang untuk perjalanan sehingga bulan Disember, sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan pergerakan rentas negeri berkuat kuasa semalam.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, perkhidmatan ETS akan beroperasi dengan 12 servis setiap hari berbanding dua pada ketika ini.
Laluannya meliputi sektor Gemas-Padang Besar, KL Sentral-Ipoh, Gemas-Butterworth dan sebaliknya.
KTMB menawarkan diskaun RM5 untuk 10,000 penumpang terawal bagi pembelian tiket yang berharga RM40 ke atas dengan kod promo BOLEHRENTAS.
Tawaran ini bermula dari 14 hingga 24 Oktober 2021.
“Empat perkhidmatan Ekspres Selatan di sektor Gemas – Johor Bahru Sentral dan dua perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran di sektor Tumpat – Johor Bahru Sentral akan beroperasi setiap hari, setelah digantung sementara operasinya semenjak pelaksanaan PKP 3.0.”
“Shuttle Timuran di sektor Kuala Lipis - Tumpat kekal beroperasi dengan 10 perkhidmatan,” tambahnya lagi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.
Secara keseluruhan, perkhidmatan KTM Antarabandar akan beroperasi dengan 16 servis.
Bagi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kakitangan barisan hadapan KTMB akan memastikan hanya mereka yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan menaiki tren dengan menunjukkan sijil digital di aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi COVID-19 sebagai pembuktian.
Menurut beliau, penumpang perlu berada di stesen sekurang-kurangnya 1 jam awal sebelum perjalanan bagi pemeriksaan dokumentasi dan pemeriksaan suhu.
Pemantauan oleh anggota Polis Bantuan KTMB, khususnya, akan dibuat di semua stesen dan di dalam tren bagi memastikan para pengguna mematuhi SOP yang dikuat kuasa.
Selain itu, KTMB ingin menasihatkan orang ramai untuk membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB bagi mengurangkan interaksi antara satu sama lain.
Orang ramai digesa mendapatkan jadual waktu terkini serta maklumat semasa operasi tren menerusi laman sesawang atau layari saluran rasmi media baharu KTMB.
*Berita asal di DagangNews.com
#KTMB #rentas negeri #ETS #KTM Antarabandar
;