Rentas negeri: 10 pemandu dikompaun RM1,000, diarah berpatah balik

Adie Sufian Zulkefli
Mei 27, 2020 08:39 MYT
Kebanyakan pemandu memberi pelbagai alasan dan gagal menunjukkan surat kebenaran merentas negeri menyebabkan kompaun dikeluarkan terhadap mereka. - Foto Astro AWANI
Padah merentas negeri tanpa kebenaran, 10 pemandu di sini dikompaun RM1,000 setiap seorang, malah semuanya turut diarahkan berpatah balik.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata, kompaun dikeluarkan terhadap mereka kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Kesalahan dilakukan dalam tempoh tiga hari sepanjang Aidilfitri, mulai Hari Raya pertama Ahad lalu.
Menurutnya, kebanyakan mereka datang dari pelbagai negeri untuk menyambut Aidilfitri di kampung, dengan cuba merentas negeri, namun sebaik tiba di sini, mereka ditahan pasukan keselamatan di sekatan jalan raya.
“Kebanyakannya ditahan ketika pemeriksaan di sekatan jalan Plaza Tol Lebuhraya Utara Selatan arah Alor Setar Utara dan Selatan.
“Kebanyakan pemandu ini memberi pelbagai alasan dan gagal menunjukkan surat kebenaran merentas negeri menyebabkan kompaun dikeluarkan terhadap mereka.
“Kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang mana sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Rozi berkata, pasukan pemantau masih giat melakukan pemantauan dari rumah ke rumah dalam daerah Kota Setar.
Tegasnya, ia bagi memastikan tiada individu yang pulang senyap-senyap ke kampung dengan merentas negeri tanpa kebenaran.
#Aidilfitri #Alor Setar #ingkar #Kedah #keselamatan #kompaun #pemantauan #penjara #PKPB #polis #pulang ke kampung #rentas negeri #rumah #Sekatan Jalan Raya #surat kebenaran
;