Rentas jambatan 107 tahun ala Spiderman sambut Hari Malaysia

Adie Sufian Zulkefli
September 16, 2022 17:35 MYT
Kelainan dilakukan empat atlet mendaki Kedah mencipta sejarah apabila melakukan aksi ala Spiderman melakukan misi merentas Jambatan Keretapi berusia 107 tahun di Limbong Kapal. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Pelbagai cara dilakukan bagi menunjukkan rasa cinta terhadap negara sempena Sambutan Hari Malaysia hari ini.
Kelainan dilakukan empat atlet mendaki Kedah apabila mencipta sejarah melakukan aksi ala watak adiwira Spiderman melakukan misi merentas Jambatan Keretapi berusia 107 tahun di Limbong Kapal dengan menggunakan teknik ‘urban roof climbing’.
Misi pendakian ini dilakukan Mohd Zamri Hamid, 51, yang merupakan ketua misi selain Muhammad Akif Nukman Nazrilazdin, 23, Dzukram Alzam Mohd Zamri, 19 dan satu-satunya atlet wanita, Wann Iryani Ariffin, 32.
Pengarah misi itu, Syed Alif Iskandar Syed Zainal Abidin, 37, berkata kejayaan ini mencatatkan sejarah bagi mereka dan lebih manis ia dilakukan sempena Hari Malaysia.
Katanya, latihan dan persiapan dilakukan dengan penuh teliti dan berhati-hati untuk merentas jambatan keretapi lama sepanjang 80 meter yang siap dibina pada tahun 1915 itu dengan menggunakan teknik ‘urban roof climbing’.
Syed Alif Iskandar berkata, teknik ‘urban roof climbing’ iaitu merentas jambatan secara tergantung adalah yang pertama dalam negara memandangkan teknik itu lazimnya dilakukan pendaki luar negara.
"Kalau diikut dalam rekod tidak pernah ada mana-mana persatuan atau mana-mana aktivis pendaki menjalankan aktiviti pendakian sebegini di Malaysia dan ini adalah yang pertama urban climbing di Malaysia dan saya berbangga kami berjaya dalam misi dimana berjaya mendaki secara bergilir-gilir," katanya.
Bagi pendaki tunggal wanita Wann Iryani, dia berkata, kekuatan mental diperlukan bagi untuk menghabiskan misi ini selepas melihat ahli keluarga dan rakan-rakan yang berada di penghujung jambatan tidak putus-putus memberi kata semangat.
Dia yang juga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Bukit Kayu Hitam, berkata misi pada hari ini amat bermakna kerana ini pencapaian terbaiknya sejak menceburi aktiviti mendaki ini lebih 15 tahun.
Program sambutan Hari Malaysia di Jambatan Limbong Kapal ini turut diserikan dengan aktiviti ‘flying fox’ yang memberi peluang kepada orang awam mencuba aktiviti ekstrem.
#Hari Malaysia #merentas jalan kereta api #Limbong Kapal #urban roof climbing
;