Rentas daerah, negeri boleh diperketat semula jika kes COVID-19 kekal serius - KKM

Ernalisa Othman
Januari 9, 2021 13:19 MYT
KKM mendapati kes turut meningkat di kawasan padat penduduk dengan pergerakan mudah termasuk di Johor, Selangor, Pulau Pinang dan juga Sabah. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Pergerakan rentas daerah dan negeri boleh dikuatkuasakan dengan lebih ketat sekiranya peningkatan penularan wabak COVID-19 di dalam negara terus meningkat.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba turut mencadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan prosedur standard operasi (SOP) yang lebih memberi kesan kepada pemulihan penularan wabak berkenaan.
Selain itu Adham turut mengakui peningkatan mendadak akhir-akhir ini membabitkan kes rentas daerah dan negeri.
“Kementerian Kesihatan mendapati ada unsur-unsur ketidakkepatuhan pada SOP yang digariskan semasa pembukaan sektor ekonomi dan perkara ini kita lihat sebagai perkara penting.
“Kementerian menasihatkan KKM supaya lebih berusaha perketatkan SOP dan juga menjalankan penguatkuasaan lebih tersusun disamping mengehadkan rentas daerah dan negeri kerana kes kebelakangan ini terjadi kerana ada banyak rentas daerah dan rentah negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pusat Pengumpulan Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pagi tadi.
Tambahnya, pihaknya juga mendapati kes turut meningkat di kawasan padat penduduk dengan pergerakan mudah termasuk di Johor, Selangor, Pulau Pinang dan juga Sabah.
Kementerian katanya telah bersedia meningkatkan keupayaan dari pelbagai sudut termasuk meneliti keperluan doktor-doktor pakar sedia ada.
Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas pada Isnin mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 yang menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini.
Rentas sempadan | Boleh diperketat semula jika keadaan kekal serius
#Muhyiddin Yassin #ismail sabri yaakob #SOP #KKM #Perdana Menteri #COVID-19 #Kementerian Kesihatan #keselamatan #rentas daerah #rentas negeri #sekatan perjalanan #Adham Baba
;