Rentas daerah: Kegiatan ekonomi di pekan Rantau Panjang kembali rancak

Bernama
Mac 7, 2021 05:10 MYT
Pekan yang sinonim sebagai 'lubuk' membeli-belah kepada penduduk tempatan dan luar itu kini kembali meriah dengan pengunjung dari seluruh Kelantan. - Gambar fail
PASIR MAS: Kebenaran rentas daerah mulai Jumaat lepas dilihat memberi sinar baharu kepada peniaga di zon bebas cukai Rantau Panjang dekat sini, setelah menjadi seumpama 'pekan koboi' sejak hampir setahun lepas.
Tinjauan Bernama semalam mendapati, pekan yang sinonim sebagai 'lubuk' membeli-belah kepada penduduk tempatan dan luar itu kini kembali meriah dengan pengunjung dari seluruh Kelantan dengan hampir 95 peratus kedai dan gerai telah dibuka selain kenderaan yang keluar dan masuk juga semakin bertambah.
Pengunjung dan peniaga didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, menyediakan kod MySejahtera yang diletakkan di pintu masuk serta memeriksa suhu badan.
Seorang peniaga pakaian wanita, Hasfazira Zakaria, 21, berkata kemeriahan di pekan itu mula dirasai sejak dua hari lepas selepas sekian lama ia sepi dan lengang.
Hasfariza berkata perniagaannya merosot hampir 80 peratus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas apabila pengunjung luar tidak dapat mengunjungi zon bebas cukai itu susulan larangan rentas daerah dan negeri dikuatkuasakan.
"Alhamdulillah, sejak kerajaan memberi kebenaran rentas daerah mulai Jumaat lepas, perniagaan saya kembali 'bernafas'. Sepanjang larangan rentas daerah, ia merupakan tempoh yang sukar bagi peniaga di sini kerana kami hanya bergantung kepada masyarakat sekitar jajahan ini sahaja," katanya.
Kegembiraan sama turut dikongsi peniaga barangan perkahwinan, Siti Nor Fatin Idayu Mohd Nordin, 29, yang kini mampu tersenyum lega apabila kedainya kembali dikunjungi orang ramai.
"Sepanjang tempoh PKP dan PKP Bersyarat lepas, saya hanya mampu meraih kira-kira RM50 sehari malah adakalanya saya pulang dengan tangan kosong.
"Namun sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kebenaran rentas daerah, perniagaan kami kembali rancak dan memperoleh pendapatan sehingga RM500 sehari. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan," katanya.
Seorang pengunjung Noor Hanani Salleh, 38, berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi zon bebas cukai itu untuk membeli-belah selepas kerajaan memberikan kelonggaran rentas daerah.
"Hampir setahun saya tidak 'makan angin', apabila kerajaan memberikan kebenaran untuk rentas daerah, saya terus mengunjungi pekan Rantau Panjang untuk membeli keperluan persekolahan anak saya Ammar Darwisy Mohd Irwan, 13, kerana di sini harganya jauh lebih murah berbanding di tempat lain.
"Saya juga merasa yakin untuk membeli-belah kerana setiap orang mematuhi SOP dengan baik," katanya.
-- BERNAMA
#ekonomi #operasi #peniaga #perintah kawalan pergerakan #PKP #pelitup muka #rentas daerah #pergerakan rentas negeri #SOP #cukai #MySejahtera #Zon Bebas Cukai #Beli belah
;