Rentas daerah di Sarawak hanya untuk perkhidmatan penting - Abang Jo

Fadilah Sulaiman
April 19, 2021 14:29 MYT
Sarawak turut memutuskan operasi bagi perniagaan di zon merah kembali dihadkan sehingga 10 malam mulai hari ini untuk tempoh dua minggu. - Foto BERNAMA
KUCHING: Berkuatkuasa serta merta, pergerakan merentas daerah di Sarawak dihadkan hanya kepada perkhidmatan penting dengan kebenaran polis.
Jelas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, keputusan diambil setelah menilai pengingkatan jumlah kes tempatan bagi kes-kes jangkitan rentas daerah iaitu kes import C.
“Pergerakan rentas antara daerah juga merupakan penyumbang utama penularan COVID-19.
“Setakat ini, terdapat 506 kes positif yang dikesan dan 8 kluster muncul kerana perjalanan rentas antara daerah (Import C) sejak Januari 2021,”katanya pada Sidang Media Khas Penguatkuasaan SOP COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Isnin.
Sementara itu, Abang Johari turut memutuskan operasi bagi perniagaan di zon merah kembali dihadkan sehingga 10 malam mulai hari ini untuk tempoh dua minggu.
Katanya, penting untuk mengambil strategi yang seimbang bagi memastikan kesihatan awam dan ekonomi rakyat terjaga.
Abang Johari turut menjelaskan faktor ekonomi sebagai sebab mengapa Sarawak tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun kes positif COVID-19 di negeri itu berada di tahap yang membimbangkan.
“Kalau kita PKP masalahnya ekonomi kita akan terjejas jadi kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).
“Sekiranya sesebuah lokaliti merekodkan kes yang banyak, kita terus melaksanakan PKPD hanya di kawasan itu,” jelasnya.
Sehingga Ahad, Sarawak merekodkan 23,940 kes baharu dengan kes harian tertinggi direkodkan pada Jumaat berjumlah 960 kes.
#COVID-19 #Sarawak #Ketua Menteri #Abang Johari TunOpeng #PKP #PKPD #perintah kawalan pergerakan diperketat #perintah kawalan pergerakan #kes positif #SOP #ekonomi #kesihatan #Malaysia #operasi
;