Rentap kepala pelajar autistik, polis buka kertas siasatan

Umavathi Ramayah
Mac 15, 2025 23:29 MYT
Shahrulnizam Ja’afar berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. - Foto tangkap layar/TikTok @farhanmazlan77
PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang pembantu pengurusan pelajar yang didakwa mengasari seorang pelajar autistik berusia tujuh tahun di sebuah sekolah rendah di Kelana Jaya, di sini.
Kejadian itu tular selepas bapa kanak-kanak itu memuat naik dua video masing-masing berdurasi satu minit 28 saat dan 12 saat di lama sosial TikTok.
Video itu memaparkan wanita itu merentap kepala kanak-kanak itu sambil bermain telefon pintarnya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Seksyen itu kata beliau, memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.
"Kita juga sudah merekodkan keterangan ibu kanak-kanak itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu. '
Dalam pada itu, Shahrulnizam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya atau mana-mana balai polis berhampiran.
#kanak-kanak autisme #Polis Diraja Malaysia #kertas siasatan #Kementerian Pendidikan
;