Renjatan elektrik dalam bas: Menteri beri tempoh 2 minggu sediakan laporan lengkap
Umavathi Ramayah
November 4, 2024 14:00 MYT
November 4, 2024 14:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan memberi tempoh dua minggu kepada pasukan khas yang menyiasat kes kematian remaja lelaki akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit pada soket sebuah bas ekspres di Pulau Pinang, Jumaat lalu, untuk menyediakan laporan lengkap.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebarang tindakan hanya akan diputuskan selepas laporan lengkap dikemukakan.
“Setakat ini belum ada sebarang keputusan hasil siasatan ini.
“Kita berikan dua minggu kepada pasukan khas untuk menyediakan laporan lengkap kepada Kementerian Pengangkutan dan selepas itu kita akan melihat apa yang perlu dilaksanakan,” katanya pada sidang media Pengumuman Dasar Penggunaan Kenderaan NGV di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Anthony memberitahu, berdasarkan laporan itu, pihaknya akan mengkaji semula termasuk melihat keperluan untuk meminda syarat-syarat bas yang menawarkan perkhidmatan pengecasan.
Sebelum ini, beliau mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menggantung operasi bas yang terbabit serta-merta untuk siasatan lanjut oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dalam kejadian kira-kira 7.40 malam Jumaat lalu, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket di dalam sebuah ekspres di Terminal Bas Penang Sentral, Butterworth, Pulau Pinang.
Mangsa yang berusia 18 tahun meninggal dunia di tempat kejadian dengan kecederaan pada jari tangan sebelah kiri.
Kes diklasifikasikan mati mengejut selepas bedah siasat dijalankan Hospital Seberang Jaya mengesahkan mangsa maut akibat terkena renjatan elektrik.