[RENCANA] Selesai isu Rohingya cara politik bukan kemanusiaan

Dr Azlinariah Abdullah
Mei 17, 2015 19:11 MYT
Dari sudut politik, Myanmar juga perlu ada kompromi dan mendengar kata Malaysia iaitu Pengerusi ASEAN sekarang untuk selesaikan isu berkaitan pelarian Rohingya. - Gambar fail
TAKDIR hidup Zahir Uddin Abdul Babar, dari Myanmar penuh rencam. Selama 32 tahun hidup, dia dilahirkan sebagai Rohingya jika mengikut susur-galur keluarga.
Identiti Zahir Uddin kemudiannya ditukar tanpa kerelaan menjadi ‘Bengali’ hanya selepas dia mendapat peluang menyambung pelajaran di Sittwe, sempadan Myanmar-Bangladesh.
Selama di Bangladesh, dia mendalami siapa Rohingya, siapa Bangladesh. Tekad mahu mengubah hidup warga Rohingya yang ditindas melalui perang ilmu pengetahuan telah membawanya ke Malaysia.
Penuntut sarjana UIAM, Zahir Uddin mempersoalkan, mengapa tidak digali punca golongan Rohingya dan Bangladesh yang melarikan diri, kalau bukan kerana mereka diseksa dan ditindas. - Foto Astro AWANI
'TITIK MULA' LARI
Arakan, Sittwe, Bangladesh dan Malaysia.
Zahir Uddin yang merupakan penuntut sarjana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu mengakui masalah Rohingya saling berkait dalam lingkungan lokasi dan tempat-tempat itu semua.
Arakan, di mana tempat penindasan bermula. Sittwe, jadi lokasi ‘titik mula’ untuk lari dari penindasan dengan bantuan bot.
Kemudian, pelarian di sempadan turut mengambil kesempatan untuk ke Malaysia atas alasan negara itu sangat berperikemanusiaan dalam melayan pendatang atau pelarian.
Pihak yang menang tentunya kerajaan junta Myanmar. Kerajaan pimpinan Thein Sein lebih daripada gembira melihat berduyun-duyun orang Rohingya keluar dari Arakan meninggalkan mereka beragama Buddha mendominasi kawasan yang kaya dengan sumber pelancongan itu.
SALAHKAN MYANMAR
“Kenapa tidak salahkan Myanmar atas apa yang berlaku selama ini – bahawa bagaimana mereka melarikan diri, membahayakan nyawa di laut terbuka, terpaksa minum air kencing.
“Kenapa tidak gali kenapa mereka (Rohingya dan Bangladesh) yang melarikan diri, kalau bukan kerana diseksa dan ditindas," soal Zahir Uddin, ditemui baru-baru ini dan ditanya pandangannya berhubung isu Rohingya yang tersebar luas kini.
Menurut Zahir Uddin, apabila terdedah nasib pendatang sebegitu rupa, Myanmar sendiri cuci tangan.
“Begitu juga Bangladesh. Dalam permainan tolak-menolak ‘ping pong’ ini, Malaysia pula dituduh tidak menghiraukan hak asasi mereka hanya kerana enggan lagi menerima mereka.
“Ini tidak benar, kerana Malaysia sudah begitu pemurah menerima mereka walaupun ada masalah sendiri berhubung pendatang.,” ujarnya.
Sebuah keluarga Rohingya yang hidup di Malaysia dengan mencari rezeki membuka kedai di Kampung Kurnia, Kuantan, Pahang. - Foto Astro AWANI/Azlinariah Abdullah
AKAR MASALAH ROHINGYA
Zahir Uddin yang sudah empat tahun berada di Malaysia itu turut menegaskan bahawa akar isu Rohingya adalah politik. Maka pada hematnya, hasil penyelesaian juga harus bersifat politik bukan kemanusiaan.
Pandangan Zahir Uddin itu diajukan kepada intelektual Rohingya hidup diaspora di Amerika Syarikat, Profesor Dr. Wakar Uddin.
Sambil bersetuju dengan Zahir Uddin, katanya kunci masalah Rohingya ialah Myanmar, tiada pihak lain.
Dari sudut politik, Myanmar juga perlu ada kompromi dan mendengar kata Malaysia iaitu Pengerusi ASEAN sekarang untuk selesaikannya.
“Adalah tidak adil untuk menyalahkan Malaysia atau Indonesia dengan apa yang berlaku di Laut Andaman.
"Benar, menolak mereka (pendatang Rohingya dan Bangladesh) itu tidak berperikemanusiaan, tetapi kesan tindakan menerima mereka juga sesuatu yang perlu diberi perhatian juga," kata Dr Wakkar dalam kiriman e-mel peribadi sebagai menjawab apa yang dilemparkan kepada Malaysia berhubung soal hak asasi Rohingya.
Beberapa kumpulan hak asasi khususnya yang berpangkalan di Amerika Syarikat mendakwa Malaysia bersikap tidak berperikemanusiaan apabila enggan menerima pendatang yang mahu mendarat sebaliknya meminta mereka belayar semula ke negara asal.
THAILAND BEBAS DAKWAAN
Sementara itu, aktivis Burma warganegara Amerika, Dr Nora Rowley mahu masyarakat antarabangsa berfikir kenapa Thailand bebas dari dakwaan hal perikemanusiaan walaupun isu ini turut ada kaitan dengan Negara Gajah Putih itu.
“Isu Rohingya sudah lama. Soal pemerdagangan orang lebih daripada 30 tahun berlanjutan. Sudah beberapa siri pendedahan demi pendedahan dibuat.
“Tetapi tiada hasilnya. Kenapa? Pada pandangan saya, ini soal politik. Politik dan kuasa menyebabkan manusia hilang kemanusiaan,’’ kata Dr Nora.
Kanak-kanak warga Rohingya di Kampung Kurnia di Kuantan, Pahang tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan kad UNHCR. - Foto Astro AWANI/Azlinariah Abdullah
ISU PENYELUDUPAN MANUSIA
Beliau menarik perhatian bagaimana bentuk tindakan kerajaan Thailand ke atas isu penyeludupan manusia dilakukan pada Mei, dan bukannya bulan-bulan lain.
“Pada bulan Mei, Prosiding Pendengaran Kongres AS mengenai Penyeludupan Antarabangsa Manusia akan memutuskan mengenai hukuman ke atas mereka yang terlibat. Sudah diketahui sebelum 2012 lagi, begitu banyak kem di selatan Thailand untuk menempatkan pendatang selepas mereka diseludup.
“Rohingya di penjara di situ sejak 2007 dan dipindahkan kerana serbuan polis. Kenapa sekarang polis Thailand mendedahkan perkara itu, ia cuma wayang untuk menutup cerita sebenar dilakukan di Arakan oleh junta Myanmar,’’ jelas Dr Nora.
TIADA JALAN PENYELESAIAN?
Begitu kompleks masalah Rohingya kerana ada cabang kaitan di sana sini. Bagaimana boleh dicari jalan penyelesaiannya?
Bukan tiada jalan penyelesaian, kata Zahir Uddin. Seperti Palestin, Acheh, dan selatan Filipina, dalam perjuangan itu semua ada darah, keringat dan air mata.
"Sudah tentu ia boleh diselesaikan, politik dahulu, bermula dengan Myanmar, layan Rohingya secara adil, iktiraf mereka sebagai sebahagian daripada warganegara," katanya.
Kata Dr Wakar pula, penyelesaiannya mudah, hanya junta merumitkannya.
"Sejarah membuktikan Rohingya adalah peribumi, kenapa mahu menafikannya, mencari jalan mengaitkan yang buruk-buruk sahaja mengenai Rohingya, sebagai contoh pendatang dari Bangladesh, terlibat dalam gerakan pemisah dan sebagainya.
"Jika kami diterima, masalah boleh selesai, apa sukarnya untuk membuat keputusan sedemikian?”
#Bangladesh #Myanmar #pendatang #Rohingya
;