Rencana Induk Port Dickson diteruskan dengan pengubahsuaian - Anwar
Shuhada Abdul Kadir
Februari 24, 2019 18:35 MYT
Februari 24, 2019 18:35 MYT
Pelan Induk Pembangunan Port Dickson bakal mengalami pengubahsuaian ekoran pelaksanaan beberapa projek besar melibatkan pelancongan dan infrastruktur yang akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan program pembangunan komprehensif yang mengadunkan pelan pembangunan secara holistik, mesra alam dan mampan itu juga dijangka akan dilanjutkan.
“Saya sudah beritahu kepada Menteri Besar, (beliau) pun setuju, exco berkenaan dan juga Yang Dipertua dan Pejabat Daerah dan wakil rakyat bagi ruang yang sepenuhnya untuk memberi input walaupun sudah hampir tamat.
“Tetapi oleh kerana ada beberapa projek baharu yang besar yang akan bukan mengganggu, tetapi merubah pelan. Jadi pelan asal kita kita kekalkan, kalau kita ubah nanti dia jadi panjang cerita, kita ubah suai sedikit mengambil kira beberapa projek besar, pelancongan dan infrastruktur yang dicadangkan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perayaan Ponggal 2019 peringkat Parlimen Port Dickson di Bandar Springhill di sini pada Ahad.
Jelasnya lagi, sesiapa saja di kawasan itu terbuka bagi memberi cadangan namun pelan itu kini masih dalam perancangan dan akan dibentangkan kepada semua wakil masyarakat pada masa akan datang.
Rencana Induk Port Dickson merupakan inisiatif komprehensif yang terdiri daripada pelan pembangunan holistik, mesra alam dan mampan bagi penduduk di Port Dickson.
Anwar pada 29 Disember lalu memaklumkan, Port Dickson akan mempunyai pelan struktur lengkap dan menyeluruh secara besar-besaran dalam usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama.
Pelan tersebut akan menyaksikan beberapa projek pembangunan akan dibina, antaranya dua buah hotel bertaraf lima bintang, pusat perdagangan dan medan selera bersaiz besar.