Rempuh belakang treler, suami isteri warga emas maut tersepit
Astro Awani
Julai 25, 2017 09:52 MYT
Julai 25, 2017 09:52 MYT
Sepasang suami isteri warga emas maut dalam kemalangan jalan raya apabila lori mereka naiki merempuh sebuah treler dekat KM156 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan awal pagi ini.
Teoh Beng Koon, 61 tahun, dan isteri Low Kuan Tai, 58, dari Ipoh, Perak maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 pagi itu, Teoh yang dalam perjalanan dari Juru ke arah Jawi telah merempuh belakang treler yang membawa muatan besi konkrit menyebabkan lori dipandunya terperosok di bawah treler tersebut.
Akibat rempuhan kuat itu, kedua-dua pemandu dan penumpang lori maut tersepit.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafee Abdul Samad ketika dihubungi memaklumkan polis tidak menolak kemungkinan mangsa memandu dalam keadaan mengantuk.
Kedua-dua mayat mangsa dikeluarkan pihak bomba dan dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.
Pemandu treler berusia 45 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.