Rempuh anggota JPJ, lelaki direman empat hari
Shuhada Abdul Kadir
September 18, 2023 14:53 MYT
September 18, 2023 14:53 MYT
PORT DICKSON: Seorang lelaki yang dipercayai merempuh seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika menjalankan tugas sekatan jalan raya (SJR), direman empat hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman sehingga 21 September itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Majistret Port Dickson, Uthman Abd Ghani.
Penahanan reman terhadap suspek lelaki yang berusia 25 tahun itu bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam.
Suspek yang memakai pakaian lokap bewarna jingga dibawa ke perkarangan Mahkamah Majistret Port Dickson dengan menaiki sebuah van dan dikawal oleh pegawai serta anggota polis.
Dalam kejadian semalam, suspek yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha dikatakan cuba melanggar sekatan jalan raya JPJ di kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson.
Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu turut tular di media sosial.
Suspek telah merempuh anggota penguat kuasa JPJ yang bertugas iaitu Muhammad Nur Hakim Mohd Razip sebelum dia dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapat rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed dilaporkan berkata, suspek turut mempunyai lapan rekod membabitkan dadah dan jenayah, selain tidak mempunyai lesen memandu manakala cukai jalan tamat tempoh sejak 2012.