Rembau bakal punyai hospital daerah - Mohamad Hasan
Bernama
Ogos 11, 2013 16:43 MYT
Ogos 11, 2013 16:43 MYT
Rembau akan memiliki sebuah hospital baharu dalam tempoh tiga tahun lagi yang memberi kemudahan kepada 60,000 penduduk di sekitar daerah itu, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya projek pembinaan Hospital Rembau yang berharga RM98 juta itu akan bermula awal September ini dan dijangka siap September 2016.
"Hospital ini akan dibina di atas tanah seluas 19.4 hektar di Chembong dan dilengkapi dengan 76 katil serta kemudahan rawatan lain setaraf hospital daerah, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Mohamad, pada awal perancangan hospital itu sepatutnya dibina menerusi pembiayaan swasta namun susulan beberapa masalah projek dilaksana sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan.
Apabila siap kelak, Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama di negara ini yang mempunyai hospital di setiap daerah, katanya.