Reman wanita bunuh rakan kongsi disambung seminggu

Bernama
November 8, 2023 15:38 MYT
Reman wanita yang dipercayai membunuh rakan kongsi perniagaannya disambung, manakala suaminya telah dibebaskan dengan jaminan polis. - Gambar fail/ Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Perintah reman seorang wanita yang dipercayai membunuh seorang wanita warga emas yang juga rakan kongsi perniagaannya disambung seminggu lagi hingga 15 Nov ini.
Perkara itu diputuskan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini hari ini, bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan setelah tempoh reman selama seminggu yang ditetapkan sebelum ini tamat hari ini.
Wanita berumur 35 tahun itu ditahan pada 1 Nov lepas setelah mayat mangsa dengan 15 kesan tikaman di badannya ditemukan pengawal keselamatan di dalam longkang di tepi jalan besar berhampiran Pejabat Agama Hulu Terengganu, Kuala Berang dekat sini pada 4.35 pagi.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan dilaporkan berkata siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 65 tahun sebelum itu menaiki kenderaan jenis Honda Jazz bersama suspek untuk ke suatu lokasi sebelum berlaku pertengkaran antara mereka akibat rasa tidak puas hati berhubung pembahagian keuntungan perniagaan.
Mangsa kemudiannya dikatakan keluar dari kenderaan terbabit sebelum dilanggar suspek yang selepas itu bertindak menikamnya sebanyak 15 kali menggunakan sebilah pisau pemotong daging.
Susulan itu, polis telah menahan suspek dan suaminya di rumah mereka di Wakaf Tapai dekat Marang bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, suami suspek berumur 37 tahun dibebaskan dengan jaminan polis.
-- BERNAMA
#kes bunuh #rakan kongsi #terengganu #kes langgar dan tikam
;