Reman tiga suspek bunuh bekas pelumba Cub Prix disambung enam hari lagi

Adie Sufian Zulkefli
September 17, 2024 12:00 MYT
Ketiga-tiga suspek tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar sekitar jam 9.30 pagi dengan kawalan ketat polis dari IPD Kangar. - Foto Astro AWANI
KANGAR: Tempoh tahanan reman ke atas tiga suspek yang dipercayai membunuh bekas pelumba Moto 3 dan Cub Prix negara Elly Idzlianizar Elias di Kangar pada minggu lepas dilanjutkan selama enam hari lagi.
Perintah lanjutan reman hingga 23 Sept itu dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas tempoh reman asal suspek berusia 28, 31 dan 51 tahun itu tamat hari ini.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar sekitar jam 9.30 pagi diiringi dan dikawal ketat oleh polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.
Suspek keluar dari mahkamah sekitar jam 11 pagi.
Semasa prosiding berlangsung, pihak polis pada awalnya memohon tempoh lanjutan reman selama tujuh hari namun peguam Tan Yeng Sing, yang mewakili suspek utama dan anaknya berusia 31 tahun, dan Datuk G Shanmugam yang mewakili suspek kedua yang berusia 28 tahun, membantah permohonan polis itu.
Mereka memberi alasan tiada keperluan untuk melanjutkan tempoh reman yang agak lama bagi anak guam mereka.
Mahkamah kemudian membenarkan bantahan itu namun menetapkan lanjutan selama enam hari lagi bagi membolehkan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan tempoh lanjutan reman berkenaan.
Pada 12 Sept lalu, polis mengesahkan kematian pelumba motosikal negara, Elly Idzlianizar, pada awal pagi 11 Sept lalu adalah disebabkan kecederaan parah akibat ditetak hingga 12 tetakan selepas terbabit dengan pergaduhan di Kangar.
Kejadian dipercayai berlaku antara jam 9 dan 10 malam pada 10 Sept apabila mangsa dipercayai pergi ke rumah seorang lelaki berusia 51 tahun di Taman Behor Gonchar Jaya, Jalan Dato Ali, Kangar sebelum berlaku perselisihan faham membawa kepada pergaduhan.
Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sebelum disahkan meninggal dunia sekitar jam 12.30 tengah malam.
Ekoran itu, polis menahan ketiga-tiga suspek serta merampas sebilah pedang samurai yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.
#Seksyen 302 Kanun Keseksaan #reman #Elly Idzlianizar Elias #bekas pelumba Cub Prix
;