Reman terhadap lelaki terlibat pergelutan di lebuh raya disambung lima hari

Hilmi Malik
Ogos 17, 2019 11:31 MYT
Reman terhadap lelaki terlibat pergelutan di lebuh raya sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki disambung lima hari lagi
Tempoh tahanan reman terhadap individu yang terbabit pergelutan berpunca daripada kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki yang tamat hari ini, disambung lima hari lagi sehingga Khamis.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dalam satu kenyataannya pada Sabtu.
Bagaimanapun, isteri suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman.
Dalam kejadian jam 1.40 petang pada 10 Ogos lalu, mangsa, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29 tahun maut setelah berlaku perselisihan faham yang berpunca daripada kemalangan kecil di Kilometer 239 Lebuhraya Utara Selatan, Kajang, berhampiran susur Bandar Baru Bangi.
Ekoran kejadian itu, pihak polis telah menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.
#Fadzil Ahmat #Kemalangan Lebuh Raya #PDRM