Reman suspek kes keropok beracun disambung dua hari
Adie Sufian Zulkefli
Julai 16, 2024 13:20 MYT
Julai 16, 2024 13:20 MYT
KULIM: Tempoh tahanan reman terhadap seorang pemilik kebun disambung selama dua hari, bagi membantu siasatan berhubung kematian dua kanak-kanak yang meninggal dunia akibat makan keropok beracun, minggu lalu.
Ringkasan AI
- Tahanan Reman: Seorang pemilik kebun disambung tahanan reman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung kematian dua kanak-kanak yang meninggal dunia selepas makan keropok beracun.
- Asas Siasatan: Tindakan ini berdasarkan Seksyen 31(1)(a) Akta 611 pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan iaitu kelakuan cuai berkenaan benda beracun.
- Kejadian: Kedua-dua mangsa, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian (3 tahun) dan Muhammad Luth (2 tahun), didakwa mengambil keropok yang disyaki bercampur racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.
Sebelum ini, perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 33 tahun itu telah dibenarkan selama enam hari bermula Khamis.
Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan iaitu kelakuan cuai berkenaan benda beracun.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan penahanan reman terhadap seorang lelaki dibuat bagi membolehkan siasatan terhadap kes kematian dua beradik terbabit selepas disyaki makan keropok beracun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di sini.
Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, dilaporkan meninggal dunia pada Rabu manakala adiknya, Muhammad Luth, 2, menghembuskan nafas terakhir dua hari kemudian.
Dalam kejadian 7 Julai lalu, kedua-dua mangsa dilaporkan telah mengambil keropok disyaki bercampur racun tikus yang digantung di pagar dawai besi kebun, terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.
Racun itu diletakkan pemilik kebun dipercayai bagi tujuan menghalau haiwan liar yang berkeliaran dan mengganggu tanaman yang diusahakan.