Reman pempengaruh suami isteri, dua individu disambung 3 hari
Astro Awani
Julai 14, 2024 15:30 MYT
Julai 14, 2024 15:30 MYT
SHAH ALAM: Empat individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, yang ditahan 10 Julai lalu kerana disyaki terlibat penyelewengan derma, disambung reman empat hari pada Ahad.
Ringkasan AI
- Empat individu, termasuk pasangan suami isteri yang merupakan pempengaruh, telah disambung reman selama empat hari lagi pada Ahad atas kes disyaki penyelewengan derma, atas perintah Majistret Siti Zahirah Zaidon.
- Penahanan mereka dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 10 Julai lalu kerana disyaki menyeleweng dana derma awam, dengan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an hingga 30-an ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
- Terdapat dakwaan di media sosial bahawa pempengaruh tersebut mengambil komisen tinggi daripada kutipan derma dan hidup dalam kemewahan, menimbulkan tanda tanya dalam kalangan warga siber.
Majistret Siti Zahirah Zaidon mengeluarkan perintah terhadap empat individu berkenaan selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Permohonan reman berkenaan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya berikutan tempoh asal reman kesemua suspek tamat pada hari ini.
Pada Rabu, pasangan suami isteri terbabit bersama dua lagi individu ditahan SPRM kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.
Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an hingga 30-an itu ditahan antara jam 6.30 petang hingga 11 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan sambungan tempoh reman berkenaan.
Sebelum ini, timbul tanda tanya berhubung dakwaan tular di media sosial mengenai pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma orang ramai dengan peratusan yang tinggi.
Selain itu, mereka juga didakwa hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber.