Reman ketua polis daerah: Mahkamah tinggi tolak semakan SPRM

Bernama
Julai 7, 2023 15:31 MYT
Datuk Zainal Azman Ab Aziz yang menolak permohonan semakan SPRM itu berkata tiada keperluan untuknya mengganggu keputusan tersebut kerana Majistret tidak terkhilaf, membuat keputusan yang betul dan wajar. - Gambar hiasan
KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini gagal untuk menyemak keputusan Mahkamah Majistret di sini yang menolak permohonannya mendapatkan perintah reman terhadap seorang Ketua Polis Daerah (KPD) bagi membantu siasatan dakwaan rasuah lebih RM1 juta.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zainal Azman Ab Aziz yang menolak permohonan semakan SPRM itu berkata tiada keperluan untuknya mengganggu keputusan tersebut kerana Majistret tidak terkhilaf, membuat keputusan yang betul dan wajar.
Beliau berkata keputusan Majistret yang bersandarkan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang memutuskan bahawa Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) tidak terpakai untuk permohonan reman bagi kesalahan yang disiasat di bawah Akta SPRM 2009 juga adalah betul kerana ia merupakan 'keputusan terkini'.
Pada 11 Mei lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Temerloh Roslan Mat Nor memutuskan SPRM perlu menggunakan aktanya sendiri dan tidak bergantung kepada KTJ kerana Seksyen 49 Akta SPRM 2009 memberi kuasa kepada SPRM untuk membenarkan jaminan ditunda supaya penyiasatan dapat diteruskan selepas 24 jam pertama penahanan.
"Keputusan mahkamah atas adalah mengikat mahkamah bawahan, seperti jika Mahkamah Persekutuan membuat keputusan, ia perlu diikut oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi dan begitu juga keputusan Mahkamah Tinggi perlu diikut oleh mahkamah di bawahnya.
"Bagi saya ia akan salah jika ada satu kes diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan sebaliknya Majistret memutuskan untuk menggunakan kes di Temerloh kerana jika terdapat dua keputusan berbeza, keputusan Mahkamah Tinggi di Kuantan adalah lebih mengikat tetapi dalam kes ini, tiada (keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan)," kata Zainal Azman pada penghakiman ringkasnya hari ini.
Pada 7 Jun lepas, Mahkamah Majistret menolak permohonan SPRM bagi mendapatkan perintah reman terhadap KPD berusia 53 tahun itu yang ditahan sehari sebelumnya, bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang dikatakan berlaku dalam tempoh lima tahun bermula 2017.
Suapan itu didakwa diterima secara bulanan antara RM20,000 hingga RM50,000 daripada pengusaha pusat hiburan dan pusat refleksologi dalam daerah dia bertugas sebagai balasan untuk melindungi kegiatan perniagaan mereka daripada gangguan pihak polis.
Keputusan itu menyebabkan SPRM memfailkan permohonan semakan pada 21 Jun lepas dengan menamakan KPD itu sebagai responden.
SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala peguam Datuk Bob S Arumugam mewakili KPD itu.
-- BERNAMA
#SPRM #Ketua Polis Daerah #Rasuah #pusat hiburan
;