Reman Inspektor kes rogol peniaga kosmetik dilanjutkan
Sinar Harian
Februari 5, 2024 13:15 MYT
Februari 5, 2024 13:15 MYT
TUMPAT: Tempoh reman ke atas seorang pegawai penyiasat berpangkat Inspektor yang dipercayai merogol jurujual kosmetik dalam talian minggu lalu, dilanjutkan oleh Mahkamah Majistret di sini, sehingga Selasa.
Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi membenarkan tempoh lanjutan itu dibuat terhadap suspek yang berusia 38 tahun.
Semasa prosiding berlangsung, peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin yang mewakili pegawai polis itu, memohon tempoh paling minimum diberikan kepada anak guamnya.
Mahkamah kemudian membenarkan lanjutan selama sehari bagi membolehkan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Sebelum itu, pegawai polis berkenaan tiba di mahkamah dengan memakai jaket yang menutup muka dan kepalanya.
Suspek sampai dengan menaiki kereta peronda polis pada jam 8 pagi sebelum keluar dari mahkamah itu dengan menaiki kenderaan sama pada jam 10 pagi.
Akhbar sebelum ini melaporkan, suspek ditangkap kerana dipercayai merogol mangsa yang berusia 23 tahun ketika dipanggil sebagai saksi untuk siasatan kes berkaitan pemerasan gambar lucah melibatkan rakan mangsa pada jam 7 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.
Suspek direman kali pertama selama tujuh hari dan berakhir pada Isnin.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian