Reman empat 'Datuk' disyaki terlibat rasuah disambung

Astro Awani
Jun 11, 2017 16:21 MYT
Empat individu bergelar 'Datuk' dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi mendapatkan lanjutan tempoh reman bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan koperasi sebuah GLC. --fotoBERNAMA
Mahkamah Majistret di sini membenarkan tempoh reman empat individu bergelar 'Datuk' disambung enam hari lagi bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan koperasi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Perintah dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di mahkamah tersebut hari ini.
Manakala sepasang suami isteri yang direman bersama empat 'Datuk' terbabit bagi membantu siasatan kes sama, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM10,000 masing-masing dengan dua penjamin.
Sebelum ini SPRM menahan reman enam individu terbabit yang berusia 42 hingga 68 tahun selama lima hari, berakhir hari ini.
Mereka adalah Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Telekom Malaysia (Kotamas) terdiri daripada pengerusi, setiausaha, bendahari, seorang anggota lembaga koperasi dan isterinya, selain seorang seorang pemilik syarikat pembekal.
Kesemua mereka ditahan di sekitar Lembah Klang pada Selasa lepas kerana disyaki memperdaya lebih 450 anggota lembaga koperasi itu dengan mendaftarkan mereka ke dalam sebuah syarikat jualan langsung (MLM).
Tindakan berkenaan menghasilkan komisyen ratusan ribu ringgit bagi anggota-anggota lembaga berkenaan.
Kes disiasat mengikut Sekysen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009.
#anggota lembaga koperasi #Datuk #komisyen #koperasi #Mahkamah Majistret #MLM #Rasuah #reman #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
;