Reman COO syarikat konsesi lebuh raya disambung tiga hari - SPRM

Bernama
Julai 19, 2024 21:03 MYT
Suspek ditahan bagi siastaan membabitkan pembinaan satu projek lebuh raya bernilai kira-kira RM6 bilion di Lembah Klang. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kebenaran untuk menyambung reman Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat konsesi lebuh raya yang ditahan Isnin lalu kerana disyaki menerima rasuah melebihi RM300,000.
Suspek ditahan bagi siastaan membabitkan pembinaan satu projek lebuh raya bernilai kira-kira RM6 bilion di Lembah Klang.
Menurut sumber, perintah sambung reman selama tiga hari mulai esok sehingga Isnin ini dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya susulan tempoh asal reman suspek tamat hari ini.
Menurut sumber berkenaan, suspek seorang lelaki berusia sekitar 50-an itu ditahan jam 8 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
"Siasatan awal mendapati suspek menerima rasuah melebihi RM300,000 daripada pemilik-pemilik syarikat bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM6 bilion," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika mengesahkan sambungan tempoh reman itu berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
#Ketua Pegawai Operasi #COO syarikat konsesi lebuh raya #reman disambung #SPRM
;