Remaja warga Filipina ditemui lemas
Radhi Muslim
Februari 12, 2023 11:09 MYT
Februari 12, 2023 11:09 MYT
SANDAKAN: Seorang remaja warga Filipina yang dilaporkan terjun ke laut di Kampung Pukat Pasir Putih, di sini, ditemui lemas pada Sabtu, malam.
Lelaki berusia 18 tahun itu ditemui oleh rakan sekerjanya tidak jauh dari kawasan mangsa dipercayai terjun.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya dimaklumkan melalui aplikasi sistem pesanan ringkas, WhatsApp bahawa mangsa ditemui terapung pada pukul 8.48 malam Sabtu.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat remaja berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.48 malam," katanya dalam kenyataan media, di sini pada Ahad.
Terdahulu pada Sabtu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pasukan penyelamat selepas seorang lelaki warga asing dikhuatiri lemas apabila terjun ke laut dipercayai mengelak daripada diperiksa polis.
Operasi SAR dijalankan JBPM, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
#Kampung Pukat Pasir Putih
#remaja Filipina lemas
#terjun ke laut di Kampung Pukat Pasir Putih
#sistem pesanan ringkas WhatsApp