Remaja warga asing maut jatuh bangunan
Astro Awani
Ogos 29, 2023 06:50 MYT
Ogos 29, 2023 06:50 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan warga Bangladesh maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium mewah di Jalan Tiara Titiwangsa, di sini, malam tadi.
Mangsa yang berusia 14 tahun ditemui maut dalam keadaan tertiarap dan mengalami cedera parah di kepala dan seluruh badan.
Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada kira kira jam 8.20 malam.
Katanya, pemeriksaan mendapati, mangsa adalah seorang pelajar sekolah dan menetap bersama ibu dan kakaknya di sebuah unit di tingkat 12.
Ketika kejadian, kakak dan ibu mangsa dipercayai turut berada bersama di kediaman mereka.
Mangsa dikatakan terjatuh dari balkoni rumah dan insiden itu disedari kakaknya.
Semakan mendapati, bapa mangsa berada di Bangladesh setelah tamat kontrak kerja di sebuah bank.
Setakat ini tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.