Remaja tikam ibu dipercayai alami halusinasi

Vivi Sumanti
Mei 26, 2022 16:36 MYT
Tindakan remaja berkenaan menyayat hati dan ianya bukanlah disebabkan faktor keganasan atau sebagainya sebaliknya ianya dipengaruhi unsur lain. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Tindakan seorang pelajar berusia 14 tahun menikam ibunya di dada pada malam kelmarin dipercayai mengalami halusinasi dan pemikiran yang tidak normal.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan masih dijalankan termasuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung tingkah laku pelajar berkenaan dirumah dan juga di sekolahnya serta pemeriksaan lanjut di hospital serta pakar psikiatri.
"Dia akan direman dan jika mengikut kenyataannya dia seolah-olah berada dalam situasi tidak normal, berhalusinasi, berpemikiran tidak normal, tapi itu perlu dibuktikan, kenyataannya tidak boleh pakai sepenuhnya, jadi kita akan hantar ke hospital untuk pemeriksaan dan pakar psikologi," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, remaja berkenaan akan menjalani pemeriksaan manakala keputusan ujian air kencing yang dijalankan negatif dari sebarang penyalahgunaan dadah.
Muhammad Zaki berkata, tindakan remaja itu dianggap menyayat hati dan ianya bukanlah disebabkan faktor keganasan atau sebagainya sebaliknya ia dipengaruhi unsur lain.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah di daerah Pasir Puteh bertindak menikam ibunya dengan pisau dalam satu kejadian di Bukit Yong, Pasir Puteh.
Mangsa ditikam dibahagian dada ketika sedang tidur dalam sebuah bilik bersama suspek kira kira jam 11.45 malam.
"Mangsa (ibu) berusia 41 tahun bersama suspek sedang tidur dalam bilik yang sama dengan tiba-tiba mangsa terasa sakit pada bahagian dada dan apabila tersedar mangsa melihat pisau tertusuk di bahagian dada.
Hasil siasatan awal polis mendapati, mangsa telah ditikam oleh suspek menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur.
Mangsa ditikam di dada dan kejadian itu mengakibatkan paru-parunya bocor serta kehilangan banyak darah dan kini dirawat di zon merah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Terdahulu, Muhamad Zaki hadir dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat IPK di Dewan Dato' Dr Ab Rahman, di sini yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
#Ahmad Yakob #remaja tikam ibu #halusinasi
;