Remaja Thailand maut dirempuh motosikal di Sungai Petani
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 25, 2024 10:00 MYT
Ogos 25, 2024 10:00 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangi terbabas dan dilanggar sebuah motosikal dari arah belakang dalam kemalangan di Kilometer 87.4 Lebuh raya Utara Selatan (arah selatan), di sini, pada Sabtu.
Mangsa, Phanchakan Kasiwat, 19, warganegara Thailand yang bekerja sebagai tukang kebun di Pengkalan Hulu, Perak maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian jam 10.45 malam itu mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 sedang bergerak dari arah Gurun menghala ke Sungai Petani.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sampai di tempat kejadian, mangsa tidak dapat mengawal motosikal lalu terbabas di tengah jalan.
“Manakala sebuah lagi motosikal jenis yang sama yang ditunggang seorang lelaki berusia 20 tahun datang dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa yang berada di tengah jalan.
“Akibat daripada kemalangan, itu mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sementara it, penunggang motosikal yang melanggar mangsa mengalami kecederaan di badan, kaki dan tangan.
Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa yang maut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk proses bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dibawa ke Unit Kecemasan hospital sama untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.