Remaja Thailand hilang dihanyut arus ditemui lemas
Vivi Sumanti
Mei 28, 2022 22:50 MYT
Mei 28, 2022 22:50 MYT
KUALA KRAI: Remaja warga Thailand yang hilang dihanyutkan arus sewaktu mandi bersama dua lagi saudaranya di Sungai Pasir Kelang Lama, berhampiran Kampung Pasir Era di sini, ditemui lemas petang tadi.
Mayat Kunabella Tuantue-ngoh, 15, ditemui sekitar jam 6.15 petang, kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Suzaimi Mohamed berkata mayat mangsa ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta penduduk kampung.
Dalam kejadian semalam, dua saudara mangsa yang mandi bersamanya berhampiran Pangkalan Feri Pasir Kelang, ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus. Mereka masing-masing dikenali sebagai Nikallia, 15, dan Nihadle, 13.
"Sebelum kejadian sekitar jam 4 petang itu, lima orang remaja telah pergi memancing di tepi jeti berkenaan.
"Tiga puluh minit kemudian, tiga daripada remaja terbabit telah pergi mandi sungai berdekatan dengan pangkalan feri itu sebelum dihanyutkan arus," katanya dalam satu kenyataan.