Remaja Thailand ditahan bersama 128,200 batang rokok seludup

Sinar Harian
Oktober 2, 2022 10:50 MYT
Seorang remaja lelaki warga Thailand berusia 16 tahun ditahan bersama 128,200 batang rokok putih dan rokok kretek dalam serbuan di Jalan Hospital di Kota Bharu pada Sabtu. -Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki warga Thailand berusia 16 tahun ditahan bersama 128,200 batang rokok putih dan rokok kretek dalam serbuan di Jalan Hospital di sini, pada Sabtu.
Serbuan jam 12.15 tengah malam itu dilakukan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan ke atas sebuah premis membaik pulih penapis air selepas bertindak atas maklumat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan menjumpai 15 bungkusan plastik berwarna hitam, satu bungkusan guni berwarna putih yang di dalamnya mengandungi rokok pelbagai jenama.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan ialah RM136,151.
Dalam serbuan tersebut, PGA juga telah menangkap seorang suspek remaja warga Thailand yang berada di dalam premis terbabit.
"Ujian saringan awal ke atas suspek adalah negatif dan direman selama 14 hari mulai Sabtu hingga 14 Oktober bagi siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau memberitahu, kes terbabit akan disiasat bawah Sek 135(1)(d) Akta Kastam 1967. -Sinar Harian
#rokok seludup #remaja #PGA #bungkusan plastik berwarna hitam
;