Remaja tetak kaki warga emas dipenjara 11 tahun

Muhafandi Muhamad
Jun 29, 2016 12:55 MYT
Mohd Fikri Noor Rosland, 19, dipenjara 11 tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cubaan membunuh dengan cara memotong kaki kiri seorang warga emas Mek Som Mat Diah, 89, pada 19 Jun lepas. - Foto BERNAMA
Remaja yang menetak hingga putus kaki seorang warga emas di Kelantan pada 19 Jun lepas, dijatuhi hukuman penjara 11 tahun.
Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh Mohd Fikri Noor Rosland, 19, selepas tertuduh mengaku bersalah.
Tertuduh yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu diarah menjalani hukuman tersebut dari tarikh dia ditangkap.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haslida Isamail memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman penjara terhadapnya.
Mohd Fikri didakwa memotong kaki kiri Mek Som Mat Diah, 89, sehingga putus dengan menggunakan sebilah pisau tanpa hulu di sebuah rumah di Kampung Tanjung Rendang Lemal, Pasir Mas, Kelantan.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
#Dazuki Ali #Mahkamah Sesyen #Mek Som Mat Diah #Mohd Fikri Noor Rosland #potong kaki #warga emas
;