Remaja terpengaruh dengan militan Daish, serang wanita di Kedah

Astro Awani
Januari 12, 2016 17:04 MYT
Khalid berkata siasatan mendapati remaja 16 tahun itu terpengaruh dengan dakyah Daish melalui laman sosial dan e-mel.
Seorang remaja yang terpengaruh dengan fahaman militan Daish (IS) nekad menonjolkan diri dengan cuba menyerang seorang wanita di sebuah pasar raya di Sungai Petani, Kedah, semalam.
Remaja lelaki berusia 16 tahun itu berpakaian seperti anggota militan Daish dan menggunakan pisau untuk menakutkan mangsa.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata siasatan mendapati remaja itu terpengaruh dengan dakyah Daish melalui laman sosial dan e-mel.
“Siasatan awal mendapati remaja itu tidak berniat untuk mencederakan mangsa tetapi mahu menunjukkan dia ahli IS yang boleh lakukan perkara seperti di Syria,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan semua jabatan peringkat Bukit Aman hari ini.
Remaja yang masih belajar di sebuah sekolah agama di Sungai Petani itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA kira-kira 8.30 malam tadi di tempat kejadian.
Khalid berkata, perkara ini bukanlah satu mainan wayang kerana ianya adalah ancaman yang benar terjadi.
Sementara itu, pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, 47 warga Malaysia termasuk 12 wanita dan lapan kanak-kanak yang dipercayai menggangotai Daish masih berada di Syria dan Iraq.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut 17 maut termasuk tiga pengebom berani mati yang dilaporkan media semalam.
“Keutamaan kita sekarang adalah untuk membendung rakyat kita daripada terlibat dan terpengaruh dengan (ancaman) siber untuk pergi ‘berjuang’ di Iraq dan Syria,” kata Mohamad Fuzi.
Menurutnya, siasatan mendapati lapan orang kanak-kanak terbabit ditempatkan di pusat kanak-kanak Daish bagi memberi latihan untuk menjadi pejuang kumpulan militan itu.
Beliau berkata, susulan tiga warga Malaysia yang maut di Syria dan Iraq, pihaknya mengenal pasti salah seorang daripada mereka mempunyai isteri dan anak di sana.
Katanya, terdapat kesukaran untuk membawa isteri dan anak individu terbabit pulang ke negara ini walaupun mereka mahu.
“Saya rasa mustahil untuk bawa mayat itu balik sebab satu, kita tidak ada access. Kita ada berhubung dengan rakan sejawat di sana tetapi respons mereka adalah sangat negatif.
“Kalau kita pergi juga, risikonya terlalu tinggi terutamanya bagi warga kita yang berkhidmat di kedutaan di sana,” tambah Mohamad Fuzi.
#daish #Fuzi Haron #Khalid Abu Bakar #militan IS
;